Saturday, November 27, 2010

Peringatan Buat Diriku Yang Lupa


Di saat kita bujang dalam berjuang untuk membela agama Allah, kita mohon pada Allah agar dikurniakan suami/isteri sebagai pembakar semangat perjuangan. Di saat kita memiliki suami/isteri, kita mohon kepada Allah agar dikurniakan zuriat sebagai penyambung/penerus perjuangan. Namun, di mana kita setelah kedua2 hasrat tersebut dimakbulkan Allah? Hinggakan sanggup kita membiarkan sahabat2 kita bersengkang mata, bermandi peluh dan adakalanya darah, melaburkan masa dan harta sendirian demi perjuangan. Sedang kita tenang menguruskan urusan harian kita dengan alasan demi masa depan kita. Bagaimana dengan masa depan agama kita? Pelbagai alasan yang kita berikan/cuba kita ciptakan pabila sahabat2 kita bertanya. Sedarkah kita telah mengkhianati amanah2 yang telah Allah berikan kepada kita di saat kita meminta. Allah kurniakan semua itu kerana perjuangan kita. Bersamalah kita muhasabah diri agar kita tidak tergolong sebagai mereka yang mengkhianati Allah & Rasul.

Ya Allah, kami terlalu alpa dengan dunia kami sendiri, bimbinglah kami ya Allah dalam menggapai cintaMu & cinta RasulMu. Berikanlah kami kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini. Kami terlalu lemah ya Allah, tanpa pimpinanMu. Kasihanilah kami ya Allah. Izinkanlah kami untuk berjiran di syurgaMu bersama Rasul dan para syuhada' dalam perjuangan agamaMu. Perkenankanlah permohonan hambaMu yang hina ini ya Allah...Aminn...Aminn Ya Rabbal Alamin...

"Bermusafir & Berjuanglah"

Saturday, June 26, 2010

Undangan Majlis Kesyukuran : 27 Jun 2010 (Ahad)

Bismillahirrahmanirrahim....

Assalamualaikum w.b.t...

Kepada semua pengunjung blog Musafir Perjuangan, dijemput menghadiri Majlis Kesyukuran sempena pernikahan saya dan suami pada :-

Tarikh : 27 Jun 2010, Ahad

Masa : 12.00 tengah hari hingga 4.oo petang

Tempat : No. 71, Jalan Nirwana 38, Taman Nirwana, 68000 Ampang, Selangor Darul Ehsan

Semoga dengan kehadiran para hadirin akan memeriahkan lagi majlis kami, serta memperolehi keberkatan Allah S.W.T.

Sekian, terima kasih.



"Bermusafir & Berjuanglah"

Sunday, May 16, 2010

KAU '10 (KARNIVAL AURA UNGU 2010)

JOM HADIR BERAMAI-RAMAI







"Bermusafir & Berjuanglah"

Wednesday, March 24, 2010

Bolehkah Wanita Menyanyi?

Pengertian Nyanyian

1) Meninggikan suara (bersuara dengan lantang dan jelas) yang disertai dengan pengulangan lirik sama ada mempunyai irama muzik atau tanpa irama.

2) Setiap individu yang meninggikan suaranya (menyebut dengan suara yang jelas dan lantang) dengan menyebut sesuatu perkara lantas diulang-ulang kalimah tersebut berulang kali, maka itu dikira nyanyian menurut masyarakat Arab.
(Abu Sulaiman Al-Khutobi)

3) Mengangkat suara (menyebut dengan jelas) dengan membaca syair.
(Fuqaha' Mazhab Syafi'e)

HUKUM LELAKI MENDENGAR NYANYIAN WANITA BUKAN MAHRAMNYA

"Kami telah menyebutkan bahawa nyanyian wanita ajnabiah untuk meraikan majlis-majlis yang membawa kepada kemaksiatan ataupun pendengar-pendengar nyanyian yang takut sekiranya mereka mendengar nyanyian dari penyanyi-penyanyi wanita akan menyebabkan berlakunya fitnah, maka di dalam kedua-dua situasi ini hukum nyanyian adalah haram. Adapun yang dimaksudkan dengan fitnah di sini ialah perkara-perkara yang ditegah oleh Islam. Sekiranya nyanyian hamba wanita itu dipersembahkan kepada tuannya, maka tidak berlakunya sebarang larangan daripada syara'. Maka keharusan mendengar nyanyian hamba wanita ini turut meliputi kepada lelaki-lelaki lain yang bukan tuan kepada si penyanyi wanita ini apabila tiada di sana perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah".
(Imam Al-Ghazali)

DALIL YANG MEMBENARKAN LELAKI MENDENGAR NYANYIAN WANITA

1) Kisah dua jariah yang menyanyi di rumah RasululLah s.a.w. :-

Ibn Hajar Al-'Asqalani ketika menghuraikan hadis ini telah menyebutkan bahawa harus mendengar nyanyian hamba wanita dengan syarat nyanyian tersebut sunyi daripada unsur-unsur fitnah.

2) Kisah nazar seorang hamba wanita:-

Daripada Buraidah "RasululLah s.a.w. telah pergi berperang dalam satu peperangan. Setelah Baginda pulang dari peperangan, datang seorang hamba wanita berkulit hitamlantas berkata" : "Ya RasululLah! Sesungguhnya aku bernazar sekiranya Allah Taala mengembalikanmu dari peperangan dalam keadaan sejahtera, aku akan bermain kompang di hadapanmu dan menyanyi" Maka kata RasululLah s.a.w.: "Kalau kamu telah bernazar, maka pukullah (kompang sebagaimana kamu bernazar). Sekiranya tidak (bernazar) maka tidak perlulah (memukul kompang)."

Hadis ini berkaitan dengan masalah nazar. Sebagaimana kita ketahui, nazar tidak boleh dilaksanakan melainkan perkara yang dinazarkan itu bertepatan dengan syara'. Apabila RasululLah s.a.w. membenarkan hamba wanita itu menunaikan nazarnya, ini membuktikan bahawa nyanyian seorang wanita di hadapan lelaki yang bukan mahramnya adalah harus apabila tidak berlaku sebarang fitnah.

SYARAT DAN ETIKA YANG MENGHARUSKAN NYANYIAN WANITA

1) Isi nyanyian hendaklah bertepatan dengan kehendak Islam. Segala bentuk lirik nyanyian yang menyalahi syariat Allah S.W.T. adalah haram.

2) Penyampaian nyanyian hendaklah bertepatan dengan Islam. Islam mengharamkan segala bentuk nyanyian apabila si penyanyi mendedahkan aurat, melakukan gerak badan yang memberahikan atau si penyanyi mempersembahkan nyanyian dengan suara yang lucah yang boleh menyebabkan fitnah serta rangsangan nafsu yang kotor di kalangan penonton sekalipun lagu yang dinyanyikan adalah lagu-lagu yang baik.

3) Suasana majlis persembahan nyanyian hendaklah bertepatan dengan Islam. Percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sebarang sekatan dan had, majlis tari-menari di kalangan lelaki dan wanita yang juga bukan mahram, berlakunya acara minuman keras dan seumpamanya merupakan faktor yang menyebabkan satu-satu agenda yang baik dari segi matlamat pada asalnya berubah menjadi satu bentuk penderhakaan kepada Allah S.W.T. lantaran maksiat yang mewarnai majlis tersebut.

4) Nyanyian yang ingin dipersembahkan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak dan kewajipan yang lain terabai seperti solat, hak mencari nafkah, menuntut ilmu dan sebagainya.

5) Setiap pendengar dan penonton adalah mufti kepada dirinya sendiri. Apabila satu-satu nyanyian adalah harus berdasarkan empat syarat yang telah disebutkan di atas, tetapi nyanyian itu telah menyebabkan penonton tersebut secara individu terangsang nafsunya lantas mengkhayalkan perkara-perkara yang tidak selayaknya difikirkan, maka ketika itu hendaklah si pendengar atau penonton tersebut menjauhi nyanyian tersebut disebabkan kesan negatif yang timbul di dalam dirinya sendiri. Konklusinya, setiap pendengar kepada satu-satu nyanyian yang halal adalah mufti kepada dirinya sendiri.


"Muzik merupakan satu fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia selaku khalifah Allah S.W.T. di atas muka bumi ini. Islam tidak datang untuk memerangi fitrah, tetapi Islam datang untuk memimpin dan menuntun fitrah agar tidak lari dari manhaj dan landasan Islam."


"Bermusafir & Berjuanglah"

Wednesday, February 10, 2010

MOTIVASI KECEMERLANGAN PELAJAR (MoKeP '10)


FOR DA BETTER YOUTH

Venue: Masjid Al-Azim, Pandan Indah
Date: 12-14th March 2010
Attendees: Students (boys and girls - 12 till 17 yrs old)
Fee: only RM 20
Spaces are limited. Please book now!

Organizer: Masjid Al-Azim in collaboration with NISA' Pandan & DPP Pandan

For further details, please contact:
Bro Shah: 019 3340129
Sis Adila: 013 3704341
Sis Nora: 019 2397781




"Bermusafir & Berjuanglah"

Thursday, January 14, 2010

Rujukan Kita

Setiap yang bergelar manusia, pasti mengalami masalah dalam melayari bahtera kehidupan. Bukan mudah mengemudi bahtera yang di dalamnya sarat dengan 1001 perkara. Untuk menjadi pengemudi yang baik, pastinya seseorang itu perlu hadam manual bahtera tersebut. Namun menghadam manual tersebut belum cukup untuk menjadi pengemudi yang hebat. Kehebatan pengemudi terletak pada ilmu dan pengalaman. Namun kadangkala ilmu dan pengalaman juga tidak mampu menyelesaikan segala masalah dalam kehidupan. Setelah puas dicari penyelesaian kepada masalah-masalah tersebut, ditenung, digali, diteroka dan discan dengan kanta, akhirnya manusia terpaksa akur bahawa segalanya terletak pada dua perkara:-
  1. AL-QURAN
  2. AL-SUNNAH
Sejak saya mula mendekati mereka yang meletakkan agama sebagai pegangan hidup mereka. Sedari alam kampus hinggalah kini, saya tidak putus-putus diingatkan tentang sesuatu perkara yang apabila saya berada dalam keadaan dilema dan keresahan, apakah yang seharusnya saya lakukan...

AL-QURAN SEBAGAI RUJUKAN

Apabila berada dalam ketidaktenangan hati, bukalah Al-Quran dengan niat ingin mencari panduan dariNya. Bukalah dengan lafaz basmallah, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. InsyaAllah, apabila kita buka dan baca makna ayat tersebut, akan ada panduan buat kita dalam menyelesaikan kebuntuan fikiran dan ketidaktenangan hati kita. Yakinlah kerana Al-Quran itu merupakan kalam Allah. Kadangkala kita lebih mempercayai kalam manusia berbanding kalam Allah. Itulah kelemahan manusia.

Dalam pembacaan kita tersebut, tidaklah bulat-bulat ayat itu penyelesai kepada masalah kita. Namun, amatilah ia sejenak, pasti ada kaitan antaranya. Amatilah ia dengan mata hati yang bertujuan benar-benar ingin mencari penyelesaian kepada kemelut yang berlaku. Niatkan ia kerana Allah, kerana ingin menjadikan diri kita sebagai hambaNya yang lebih baik dari hari semalam.

AL-SUNNAH SEBAGAI PANDUAN

Dalam melengkapi panduan kehidupan, pastinya Al-Sunnah tidak dapat ditinggalkan. Al-Sunnah yang dikatakan sebagai penjelas kepada maksud-maksud Al-quran merupakan hubungkait yang sangat rapat sebagai rujukan selepas Al-Quran. RasululLah s.a.w. itu sendiri dikatakan sebagai Al-Quran berjalan. Kerana pada keseluruhan diri Baginda terdapat qudwah hasanah yang perlu diikuti. Cara berpakaian, cara berjalan, cara makan, cara tidur, cara berkomunikasi dan keseluruhan cara hidup Baginda RasululLah s.a.w. sangat cantik untuk kita jadikan sebagai idola.

Ironinya, menjadikan RasululLah sebagai contoh ikutan menjadikan diri kita lebih baik. Namun, sangat ramai di kalangan kita hari ini menjadikan mereka yang tidak sepatutnya sebagai contoh ikutan, yang mengakibatkan kita semakin jauh dari amal Islam. Seandainya kita mengambil pewaris para Nabi (para alim ulamak) sebagai contoh ikutan buat kita, InsyaAllah diri kita akan sentiasa terpandu.

Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan utama buat diri kita. Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya. Mana mungkin Allah S.W.T. menciptakan manusia dengan terumbang-ambing sendirian melayari bahtera kehidupan. Pastinya dengan setiap pinciptaan manusia, langit dan bumi, terdapat manual yang Allah bekalkan untuk penyelenggaraan terbaik... Itulah Al-Quran dan Al-Sunnah...


"Bermusafir & Berjuanglah"

Thursday, November 5, 2009

Perlukah Kepada Boikot?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Segala pujian hanya layak bagi Allah, pemilik sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan tercinta, RasululLah s.a.w. yang bermandi peluh, air mata dan darah dalam menyampaikan risalah Islam yang kita nikmati hari ini. Tidak lupa juga buat seluruh para pejuang Islam seluruh dunia dari dulu hinggalah ke hari ini, samada yang telah gugur syahid membenarkan apa yang dikata, mahupun yang masih meneruskan perjuangan dalam membenarkan kalam Allah dan Rasul. Moga kita semua ditempatkan di kalangan mereka insyaAllah...

Saya, sebagai hamba Allah yang hina dan jahil ini, melakarkan tulisan di dalam blog ini dengan penuh rasa tunduk dan merendah diri. Saya sedar, mungkin saya bukanlah orang yang selayaknya untuk menulis di sini. Namun menyedari akan pesanan RasululLah s.a.w.: "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat". Maka saya terpanggil untuk menulis.

Baru-baru ini saya telah ditegur oleh seorang sahabat tentang kesungguhan saya memboikot barangan yang menyumbang kepada dana Yahudi. Saya diperli habis-habisan tanpa saya dapat mempertahankan diri kerana menghormati akan kedudukannya. Apa yang cukup saya kesalkan adalah kenyataannya yang seolah-olah mengajak kepada "tidak perlu memboikot". Saya tidak kisah seandainya beliau tidak mahu memboikot atau tidak mampu untuk memboikot. Tetapi janganlah pula menghalang usaha orang lain untuk memboikot dan mengajak orang lain kepada memboikot. Berikut adalah antara kenyataan sahabat saya, dan di bawahnya, saya cuba untuk menjawab kepada setiap kenyataan tersebut;
  • Mengambil keputusan untuk tidak membeli barangan boikot, tetapi membeli barangan keluaran orang-orang kafir yang lain, sama jugalah. Beli barangan orang kafir juga namanya. (J: Saya berusaha untuk memboikot dan mengajak orang lain untuk memboikot, bukan atas dasar barangan keluaran orang-orang kafir, sebaliknya atas dasar barangan tersebut menyumbang kepada dana Yahudi laknatulLah, yang digunakan untuk menghapuskan ummat Islam di seluruh dunia, samada secara terang-terangan mahupun secara halus).
  • Apakah barangan gantian untuk barang-barang yang diboikot? (J: Setakat ini tidak dapat dinafikan, memang masih kurang barangan gantian tersebut, namun setakat pengamatan saya, sekadar barangan keperluan harian InsyaAllah, ada alternatifnya. Sekalipun ada di antara barangan tersebut yang tiada barang gantian, namun selagimana dengan tidak membeli barangan tersebut tidak mendatangkan sebarang mudharat kepada kita, maka apalah salahnya untuk kita berusaha. Melainkan barangan yang tiada alternatif langsung, sebagai contoh barangan komputer.).
  • Awak cakap senanglah, awak belum ada keluarga dan anak-anak. (J: Mungkin saya masih belum berkeluarga, namun jika kakak saya yang sudah punya keluarga dan anak-anak boleh lakukan, kenapa orang Islam yang lain tidak?).
  • Kalau setakat seorang dua yang bertindak memboikot, tidak memberikan kesan apa-apa pun. (J: Ya, bermula dengan seorang, kita mengajak kepada beramai-ramai sebagaimana konsep dakwah dan sebagaimana Sirah. InsyaAllah, kita pasti akan berjaya memboikot, di samping kita membantu pengusaha-pengusaha Islam yang lain melebarkan perniagaan mereka).
  • Kita boleh memboikot barangan mereka seandainya jelas mereka menyerang kita. (J: Seandainya mereka telah menyerang kita, di saat itu, kekuatan meboikot untuk kita sudah tidak ada dan tidak berguna lagi. Negara telah kucar-kacir, kuasa membeli juga telah tiada. Satu perkara lagi, mungkin kita masih belum diserang dari segi zahirnya, namun dari segi sarafnya bagaimana? Bagaimana pula dengan jawapan kita terhadap saudara seagama kita yang telah mengalami kesengsaraan serangan mereka di luar negara? Bukankah umat Islam itu bersaudara? Tidak kasihkah kita kepada saudara-saudara seagama kita? Sebagaimana sabda RasululLah s.a.w. "Tidak sempurna iman setiap daripada kamu selagimana kamu tidak mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri").
  • Kalau begitu, jika kedai makan atau rumah saudara mara kita menghidangkan makanan atau minuman yang menggunakan bahan mentahnya dari barangan yang menyumbang kepada dana Yahudi, janganlah makan. Boikot la kedai dan saudara mara kita tersebut. (J: Kita bukanlah sampai kepada tahap itu kejumudannya. Jika dihidangkan, makanlah, selagimana makanan itu tidak jelas haramnya (contoh : dari sumber khinzir, arak dan sebagainya). Apa yang jelas, kita sendiri berusahalah untuk tidak membeli dan mengajak orang untuk turut sama dalam usaha memboikot ini).

Begitulah antara hujjah sahabat saya berkaitan perkara "memboikot" ini. Apa yang jelas pada saya, "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih". Kita boleh memberikan dan menyenaraikan seribu satu alasan untuk kita tidak mahu melakukan sesuatu perkara. Namun, pendirian saya, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan", insyaAllah. Seandainya kita benar-benar mahu melakukan dan bersungguh-sungguh untuk sesuatu perkara itu, demi manfaat untuk agama, pasti Allah akan permudahkan jalan buat kita, insyaAllah.

Di sini saya berikan alamat untuk pautan kempen memboikot barangan yang menyumbang kepada dana Yahudi laknatulLah beserta huraian lengkap mengapa setiap barangan itu perlu di boikot beserta fatwa yang dikeluarkan dari beberapa tokoh agama termasuk Sheikh Yusuf Al-Qaradawi.

http://www.inminds.co.uk/boycott-israel.html

Saya bukanlah orang yang faqih dalam agama, namun saya mohon kepada Allah, moga usaha saya yang sangat kecil ini, dapat membantu sedikit sebanyak agamaNya. Saya menyeru kepada sahabat-sahabat dan pengunjung blog Musafir Perjuangan, biarlah kita menjadi seperti burung kecil yang membantu memadamkan api yang sedang membakar Nabi Ibrahim a.s., yang apabila dikatakan kepadanya, mampukah paruhnya yang kecil, membawa air berulang-alik bagi memadamkan api yang sedak marak menyala bagi membakar tubuh Nabi Allah Ibrahim? Jawapannya mudah, moga usahanya yang kecil itu, diterima di sisi Allah, dalam menyelamatkan NabiNya.

Saya akui, saya hambaNya yang banyak berdosa dan sangat kurang amalannya. Namun, do'a saya pada Yang Maha Pengasih dan Penyayang, moga usaha saya juga setanding usaha burung kecil tersebut...wallahualam.

"Bermusafir & Berjuanglah"

Friday, August 28, 2009

Amalan Pada Bulan Ramadhan


"Bulan Ramadhan bulan yang berkat
Bulan rahmat dan bulan utama
Pahala digandakan do'a diterima
Bulan Lailatul Qadar yang istimewa"

Begitulah rangkap nasyid lama yang masih segar dalam ingatan saya. Keistimewaan bulan Ramadhan yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-hambaNya yang beriman. Tanda rahmat dan kasih sayang Allah pada hambaNya. Bukti Allah tidak pernah mengabaikan kehidupan hambaNya setelah hambanya dicipta. Berikut saya senaraikan antara amalan yang boleh kita lakukan sepanjang Ramadhan ini, dalam meraih dan cintaNya.

  • Jangan luput mengerjakan solat sunat Tarawih dengan berjamaah dan bertahajjud di setiap malam;
  • Perbanyakkan sedekah, memberi hidangan berbuka kepada mereka yang berpuasa;
  • Tetap berjamaah pada setiap solat fardhu, iktikaf di masjid dan membaca Al-Quran;
  • Perbanyakkan bacaan : "Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku mohon kepadaMu akan syurga dan aku mohon perlindunganMu dari neraka". Ketika hendak berbuka atau bila-bila sahaja;
  • Juga perbanyakkan do'a sebagaimana yang disuruh oleh Nabi s.a.w. kepada Aisyah : "Ya Allah, sesungguhnya Engkau pemaaf, suka memberi maaf, maka berilah kemaafan bagiku";
  • Sewaktu berbuka bacalah : "Ya Allah, keranaMu aku berpuasa, dan atas rezekiMu pula aku berbuka dengan rahmatMu, wahai Yang pengasih di antara yang pengasih"
  • Digalakkan menyambut kedatangan Ramadhan dengan do'a : "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Mengasihani. Segala puja dan puji bagi Allah yang telah memuliakan kami dengan naungan bulan Ramadhan, yang turun padanya malaikat-malaikat dan roh-roh yang mulia. Selawat dan salam atas junjungan kami Muhammad, keluarga dan sahabatnya yang mulia. Kami mohon kepadaMu ya Allah, pemeliharaan, keamanan memasuki bulan Ramadhan dan tetapkanlah kami berpuasa Ramadhan. Rahmatilah kami dan berkatilah dalam berpuasa Ramadhan dan perbaikilah segala keadaan kami dan akhlak kami serta sekalian amal kami dalam bulan Ramadhan. Ya Allah, lanjutkan usia kami ini dengan berkat Ramadhan dan jadikanlah puasa kami ini mengikuti segala puasa yang dipuasakan oleh Nabi kami Muhammad s.a.w. dengan rahmatMu, ya Tuhan yang Maha Pemurah dan Mengasihani. Kesejahteraan dan keselamatan atas Nabi Muhammad dan segala puja dan puji bagi Allah Tuhan semesta alam."
"Bermusafir & Berjuanglah"

Wednesday, August 26, 2009

Fadhilat Ramadhan 1

Hadith 1

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

"Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."


"Bermusafir & Berjuanglah"

Marhabban Ya Ramadhan!


"Bermusafir & Berjuanglah"

Thursday, August 20, 2009


Ya Allah...
Sesungguhnya aku meminta petunjuk...
yang baik dariMu
Aku minta dariMu...
dari kelebihanMu yang banyak
Maka sesungguhnya Engkau berkuasa...
aku tidak berkuasa
Engkau mengetahui...
bahkan Engkau sangat mengetahui segala yang ghaib

Ya Allah...
Jika Engkau mengetahui bahawa...
perkara ini baik untukku...
pada agamaku...
pada duniaku...
dan...
baik pada kesudahan urusanku...
maka tentukanlah ia untukku...
dan permudahkanlah...
serta berkatilah aku padanya.

Jika Engkau mengetahui...
bahawa perkara ini tidak baik untukku...
pada agamaku...
pada duniaku...
serta...
kesudahan urusanku...
maka jauhkanlah ia dariku...
dan...
jauhkanlah aku darinya.

Tentukanlah kebaikan untukku...
di mana sahaja aku berada...
dan...
redhailah aku padanya...



"Bermusafir & Berjuanglah"

Wednesday, April 29, 2009

Coretan Anak Pejuang

AlhamdulilLah, hari ini saya berkesempatan menjenguk sebentar blog ini. Ada sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama pengunjung setia blog "Musafir Perjuangan". Hayatilah coretan hati seorang anak pejuang agama Allah. Anak kepada ibu bapa yang menyerahkan diri dan keluarganya demi mencari dan mengharapkan keredhaan Allah, dan yang lebih penting, atas dasar melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah.


AKU ANAK PEJUANG



“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama ALLah nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
Surah Muhammad : 7

Aku dilahirkan dalam keluarga yang menekankan agama. Ayah ku seorang doktor dan ibuku seorang suri rumah. Mereka juga merupakan aktivis masyarakat dan penggerak sebuah parti Islam yang telah lama bertapak di bumi Malaysia ini.

Sejak kecil saya dan adik beradik yang lain dididik untuk berdidkari dan sentiasa dibawa untuk bersama-sama mengikuti program-program jamaah. Bagi kami istilah seperti usrah, tamrin, tarbiyyah sudah tidak asing lagi. Jika kami tidak ikut serta dalam program, kami sering ditinggalkan di rumah bersama kakak yang sulung yang umurnya pun bukan ketika itu 12 tahun. Kadang-kadang keadaan tersebut menyebabkan aku sering terasa diabaikan kerana kesibukan ayah dan ibu.

Ketika aku meningkat remaja, aku terpilih untuk ke sekolah berasrama penuh. Pada hari pendaftaran aku tidak ditemani oleh ibu bapaku seperti mana sahabat-sahabat lain. Ayah, ibu dan adik-adik berada di luar negara selama setahun kerana tugasan ayah.

Aku cuba untuk hidup berdikari. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, namun kelibat ibu bapaku masih tidak muncul untuk datang melawatku. Setiap kali hari kunjungan keluarga, aku akan menunggu di tepi kantin dengan harapan ibu bapaku akan datang walaupun aku tahu itu tidak mungkin terjadi kerana mereka berada nun jauh di seberang lautan.

Memang benar pepatah mengatakan `penantian satu penyeksaan’. Sekian lama mengharap,pada suatu petang aku mendengar namaku dipanggil di corong pembesar suara. Pada waktu itu hanya Allah yang tahu betapa gembiranya hatiku. Dari jauh aku nampak kelibat ibu bapaku, tanpa di sedari air mata kesyukuran jatuh bercucuran. Penantian setahun kini berakhir.

Pada tahun berikutnya aku menghadapi peperiksaan yang besar iaitu SPM. Seperti sahabat-sahabat lain aku mengharapkan keluarga ku datang untuk memberi semangat kepadaku untuk belajar. Namun setiap kali aku menelefon ibu bapaku pasti mereka akan jawab,` ibu ada program hujung minggu ni ’,` minggu ni ibu ada usrah’,`ayah kena rasmikan majlis ni minggu ni ‘ dan jawapan-jawapan sepertinya yang lain. Jarang sekali mereka berkelapangan untuk datang melawatku di sekolah.

Sahabat-sahabat ku selalu bertanya kepada aku,` anti ni orang Selangor je tapi jarang ana nampak keluarga anti datang’. Aku hanya mendiamkan diri, diam seribu bahasa. Aku tahu jika aku terangkan kepada mereka pun, mereka tidak akan faham. Kadang-kadang pernah terdetik di hati ku, adakah adil semua ini untuk aku. Namun cepat-cepat aku padamkan perasaan itu. Ibu selalu berkata, “kerja-kerja jemaah inilah yang memberi keberkatan dalam hidup kita”. Kenyataan itu tidak dapat aku nafikan. Aku dan adik beradik yang lain lebih mudah memahami sesuatu pelajaran berbanding orang lain. Banyak kejadian dalam hidup keluarga kami membuktikan pertolongan Allah sangat jelas datang membantu.

Contohnya ketika keputusan SPM diumumkan. Aku berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Aku yakin bahawa kejayaan ini hasil keberkatan daripada kerja-kerja jemaah yang dilaksanakan oleh ibu bapaku.

Kini aku pula terlibat dengan kerja-kerja jemaah. Aku mula memahami betapa pentingya perjuangan ini , perjuangan yang tidak menjanjikan ganjaran wang ringgit bahkan kekadang mengundang kebencian manusia. Namun hanya keredhaan Allah didambakan agar agama Allah dapat didaulatkan di atas muka bumi ini. Kerja yang memerlukan banyak pengorbanan ini tidak semua orang sanggup memikulnya. Ada yang gugur di tengah jalan kerana tidak mampu menghadapi cabaran-cabaran dalam berdakwah. Aku mula menyedari dan memahami penglibatan ibu bapaku selama ini.

Kepada semua anak-anak pejuang, janganlah kalian sedih dan rasa terabai kerana janji Allah itu pasti seperti di dalam surah Muhammad ayat ke-7 yang nyatakan di atas tadi. Kepada para pejuang, jangan sesekali ragu-ragu dan merasa bersalah kerana terpaksa meninggalkan anak-anak kerana sibuk dengan perjuangan, kami anak-anakmu memahami dan kami bersedia menjadi penerus perjuangan ini. Yakinlah bahawa Allah tidak akan sia-siakan segala pengorbananmu.....

TAKBIR!!!
CORETAN RASA
Humayra Mawaddah

"Bermusafir & Berjuanglah"

Tuesday, December 16, 2008

Rokok!

Hari Jumaat lepas saya menemani ibu saudara saya menghantar rakannya yang memerlukan bantuan untuk ke satu destinasi kerana keretanya rosak. Tambahan pula waktu itu malam hari. Suaminya pula, ada urusan perniagaan di negara Brunei Darussalam. Selepas selesai urusan, kami berhenti makan di sebuah gerai lantaran perut yang semakin berkeroncong minta diisi. Kami hanya sempat menjamah sarapan pagi sahaja hari itu kerana menyelesaikan beberapa perkara di sepanjang siangnya.

Kedudukan meja makan kami berada di tengah2 gerai tersebut kerana meja-meja yang lain telah dipenuhi oleh pelanggan-pelanggan yang terlebih dahulu datang dari kami. Sedang asyik menjamu selera, tumpuan kami beralih kepada satu bau yang cukup kami kenali. Rokok! itulah bau yang cukup menyeksakan kami di sepanjang kehadiran kami di gerai tersebut. Di kiri, kanan , depan dan belakang kami semuanya berkepul-kepul kelihatan asap rokok ke udara. Suasana ini mengakibatkan selera kami hilang. Makanan, minuman dan pakaian kami melekat bau asap rokok yang ditiup angin ke arah kami.

Di mana kesedaran masyarakat tentang perkara ini? Telah ramai ulama' yang memfatwakan bahawa rokok itu haram lantaran kandungannya yang boleh memberikan mudharat yang besar kepada manusia. Tetapi mengapakah mereka tetap tidak mahu berubah? Kadang-kadang saya merasa pelik. Yang menjadi pengamal setia kepada rokok ini bukan sahaja orang-orang yang tidak berpendidikan tinggi, malah mereka yang hebat pendidikannya hingga ke menara gading, memiliki sijil, diploma, sarjana muda, sarjana, malah doktor falsafah (phD). Bila ditanya bila hendak berhenti merokok, jawabnya takdir akan menentukan. Bukankah syarat perkenannya Allah terhadap sesuatu perkara itu telah ditetapkan Allah. Bermulanya dengan usaha, diikuti dengan berdo'a dan diakhiri dengan tawakkal. Tetapi mengapa kita terus menyerahkannya kepada syarat yang terakhir, sebelum melaksankan dua syarat yang terawal?

Bersamalah kita koreksi diri sendiri...

"Bermusafir & Berjuanglah"

Saturday, November 22, 2008

Pilihan Tepat, Warga Sihat. InsyaAllah!


Saya tidak berkesempatan untuk update blog saya sejak kebelakangan ini. Terlalu banyak yang perlu saya fikirkan serentak. Apapun, kali ini saya cuba untuk berkongsi sedikit sebanyak bersama pengunjung blog 'Musafir Perjuangan' tentang khasiat Kopi Radix (mai secawan) :-)

Minuman Kopi Radix dirumus khas untuk para penggemar aroma kopi yang penuh khasiat. Antara khasiatnya :-
  • Sebagai 'afrodisiak' menambah fertiliti (kesuburan)

  • Melawas air kecil dan air besar (sembelit)
  • Mengatasi masalah 'frigid' bagi wanita

  • Tongkat Ali sebagai herba utama (tonik)

  • Menghilang sakit sendi, urat serta menguatkan otot

  • Mengaktifkan biosintesis ke atas hormon endrogen

  • Berfungsi sebagai anti-kanser/anti-viral

  • Mengandungi flavonoid sebagai anti-oksidan

Mengandungi sinergi 7 herba yang tidak terdapat di kalangan kopi-kopi kesihatan lain di luar sana. Mungkin juga ada yang menyebut 7 dalam 1. Sebagaimana minuman lain yang kita dengar 3 dalam 1 dan sebagainya. Namun 7 dalam 1 Kopi Radix nyata berbeza. Angka 7 yang dimaksudkan adalah mewakili 7 jenis herba. Ia tidak termasuk (krimer, gula & kopi) sebagaimana minuman-minuman segera yang lain.

Ada seorang ahli HPA yang komen kepada saya tentang Kopi Radix ini. Katanya Kopi Radix tidak seperti kopi lain yang biasa dia minum. Tak hilangkan mengantuk pun. Nak 'stay up' untuk 'study' tengah-tengah malam pun tak dapat tahan. Jawapan saya, Kopi Radix adalah merupakan minuman kesihatan. Bukan minuman untuk tahan mengantuk. Jika Kopi Radix adalah minuman yang sedemikian bermakna ia bukanlah minuman kesihatan. Kerana Allah ciptakan malam untuk manusia dalam 3 keadaan. 1/3 malam untuk selesaikan sebahagian perkara, 1/3 lagi untuk manusia itu tidur dan 1/3 akhir malam untuk beruzlah denganNya. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Namun sering manusia menentang aturan tersebut yang kadangkala memberikan mudharat di luar sedar.

Mudah saya sebutkan di sini, minuman kopi lain di luar sana yang berupaya menahan rasa mengantuk adalah merupakan minuman yang tinggi kandungan kafeinnya. Pengambilan kandungan kafien yang tinggi oleh seseorang itu dalam kehidupan seharian akan mengakibatkan kesan negatif kepada kesihatan tubuh badan. Buatlah pilihan yang bijak. Kita minum untuk kesihatan atau minum untuk memudharatkan kesihatan.

"Bermusafir & Berjuanglah"

Tuesday, November 18, 2008