Tuesday, September 30, 2008

Penghujung Ramadhan

Hari ini genaplah sudah 30 Ramadhan. Ini bermakna kita benar-benar telah berada di penghujung Ramadhan. Apabila berkumandangnya azan Maghrib nanti, menjelmalah sudah 1 Syawal. Petanda kemenangan umat Islam di seluruh dunia lantaran berjaya mengekang nafsu di sepanjang bulan Ramadhan. Dan tanpa kita sedari, solat Maghrib, Isya', Tarawikh, Witir dan Qiamullail semalam adalah merupakan solah yang terakhir di bulan al-Mubarak ini. Maka awaslah, dengan musuh-musuh kita yang akan berkeliaran kembali setelah tenggelamnya matahari pada petang ini.

Semalam saya bertarawikh di Rawang, Selangor. Kebetulan ada urusan di rumah ibu saudara saya di sana. Tak sempat nak balik ke KL sebelum berbuka. Pada mulanya saya bercadang hendak bertarawikh di Masjid kawasan Rawang, tetapi disebabkan masa yang terbatas, saya bertarawikh di surau taman perumahan kawasan ibu saudara saya menetap.

Imam di surau tersebut hanya membaca surah-surah pendek sahaja di sepanjang solat sunat Tarawikh, tetapi hati saya benar-benar terasa syahdu. Apatah lagi dengan bacaan do'a yang kedengaran suara imam menangis. Ini ditambah pula dengan linangan air matanya ketika sesi tazkirah. Ya Allah, terasa benar-benar sebak dan hiba. Benar kata adik sepupu saya, bacaan imam ini sedap walaupun dia bukanlah seorang Hafiz. Segalanya membuatkan saya merenung dan berfikir, benarlah sebagaimana janji Allah, Dia akan memberikan kefahaman Agama itu kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Semoga kita tergolong di kalangan mereka yang diberikan kefahaman Agama oleh Allah S.W.T.

Pesan imam tersebut, jangan kita abaikan solat sunat Eidulfitri kerana ianya adalah kekecewaan besar Iblis Laknatullah terhadap hamba-hambaNya yang mengerjakannya setelah berpuasa di bulan Ramadhan. Sia-sialah segala tipu daya dan hasutan Iblis Laknatullah berserta kuncu-kuncunya selama tempoh setahun yang sudah, kerana mereka yang mengerjakannya dengan sempurna, dibersihkan oleh Allah dari dosa-dosanya ibarat bayi yang baru dilahirkan. Semoga kita corakkannya dengan amalan-amalan syurga sebagai bekalan kita kembali kepadaNya.

"Bermusafir & Berjuanglah"

Sunday, September 28, 2008

Khusyuk & Detik-Detik Terakhir!

AlhamdulilLah, saya baru sahaja balik dari Tarawikh malam Ramadhan yang ke 29. Ini bermakna, hanya berbaki 1 malam sahaja untuk kita berada di dalam medan fadhilat Tarawikh yang kita sedia maklum sangat hebat pemberian dariNya. Di tempat saya, terdapat 2 orang Hafiz yang mengimami solat sunat Tarawikh. Namun saya sangat suka kepada salah seorang darinya. Bukan sukakan rupa parasnya (wajahnya pun saya tak pernah lihat), tetapi hati saya sangat tertarik kepada bacaan surah di dalam solahnya. Cukuplah dengan dia memulakan dengan surah al-Fatihah, itu sudah memadai untuk saya menitiskan air mata. Terasa benar-benar syahdu. Entah bilakah lagi dapat saya dengarkan bacaan al-Fatihah darinya selepas ini. Saya ingin menjadi sepertinya. Bacaan Fatihah dapat diserap terus ke dalam jiwa dan sanubari, bersatunya hati dengan Pencipta. Di waktu itu, penumpuan sememangnya tertumpu kepada solah semata-mata, InsyaAllah.

Mencari kekhusyukan di dalam solah tidak semudah kita menyebutnya. Tidak semua orang sama kaedah dan caranya. Segalanya bergantung kepada keselesaan masing-masing. Namun para ulama' terdahulu telah meninggalkan kepada kita sedikit sebanyak panduan untuk mencapai kekhusyukan tersebut. Antaranya, sebagaimana yang dilakukan oleh seorang abid bernama Hatim al-Assam. Sebelum bersolah, beliau akan berwudhuk zahir dan batin;


Wudhuk Zahir:-

Sebagaimana biasa iaitu membasuh anggota-anggota wudhuk dengan air.

Wudhuk Batin:-
  1. Bertaubat;
  2. Menyesali dosa yang telah dilakukan;
  3. Tidak tergila-gilakan dunia;
  4. Tidak mencari atau mengharapkan pujian;
  5. Tinggalkan sifat bangga diri;
  6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu;
  7. Meninggalkan sifat dengki.

Sewaktu Solah :-

  1. Berdiri dengan waspada dan merasakan sedang berhadapan dengan Allah;
  2. Merasakan Syurga di sebelah kanan;
  3. Merasakan Neraka di sebelah kiri;
  4. Merasakan Malaikat Maut di belakang;
  5. Merasakan seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratul Mustaqim';
  6. Menganggap bahawa ia adalah solah yang terakhir;
  7. Berniat dan bertakbir dengan baik;
  8. Fahami makna setiap bacaan dan do'a dalam solah;
  9. Rukuk dan sujud dengan tawadhuk;
  10. Bertasyahud dengan penuh pengharapan;
  11. Memberikan salam dengan ikhlas.

Semoga kita sama-sama mendapat kekhusyukan di dalam setiap solah kita, agar kemanisannya dapat kita rasai.


"Bermusafir & Berjuanglah"

Friday, September 26, 2008

Pencarian Ketenangan


KETENANGAN... Itulah istilah yang didambakan oleh setiap yang bernama manusia. Tidak mengira keturunan, latar belakang, usia, pangkat mahupun kekayaan atau kemiskinan. Semuanya memerlukan ketenangan dalam diri. Biarpun kadangkala kita melihat seseorang itu berserabut dengan pelbagai masalah atau kerenah, namun pasti jauh di sudut hati kecilnya, dia merindui secebis ketenangan.

Begitulah juga dengan saya. Hanya ketenangan yang mampu membuatkan saya menulis di dalam medan elektronik ini. Tanpa ketenangan, tidak mungkin saya membuat sebarang coretan di sini. Namun, di bulan Ramadhan yang mulia ini, kecenderungan saya menulis adalah di waktu malam hari. Selepas selesai menunaikan solat sunat Tarawikh dan Witir berjamaah di Masjid yang berhampiran, hati saya tergerak untuk menulis sesuatu di sini. Biarpun ianya hanya sekadar peringatan yang telah biasa diketahui umum. Waktu siang, bukan laptop dan blog ini tidak dibuka, tetapi saya tidak mampu untuk menulis. Entahlah, mungkin ketenangan tidak benar-benar dirasai.

Bagaimana ya gambaran ketenangan itu? Em.., persoalan yang sukar dan tidak mungkin dapat saya jawab. Gambarannya hanya dapat dilihat oleh orang-orang yang merasai. Merasai ketenangan tidaklah sukar, malah ianya tidak juga mudah. Ketengan itu hanya akan dirasai oleh orang-orang yang beriman. Tanyalah kepada mereka yang asalnya bukan Muslim. Apakah perasaan mereka setelah menerima Islam? Pasti jawapannya adalah ketenangan yang tidak dapat digambarkan. Hanya mereka yang merasai kemanisannya.

Hakikatnya, sukarkah untuk kita memilikinya? Kembali kepada Pencipta, serahkan diri kita kepadaNya, sujud padaNya di kala insan lain tenggelam di dalam mimpi. InsyaAllah, ketenangan itu akan kita miliki. Kehebatannya akan kita rasai, di dalam sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya.

Bukan mudah menulis di sini apabila dicermin di dalam diri. Siapalah saya berbanding insan lain. Siapalah saya yang hina ini di sisi Yang Maha Esa. Namun do'a saya, biarlah apa yang saya coretkan menjadi pakaian saya seharian. Semoga ilmu bermanfaat yang dikongsikan bersama adalah tabungan saham saya di akhirat kelak. Juga sebagaimana sabda Rasul tercinta "Sampaikanlah oleh kamu walau sepotong ayat".

Ya Allah, didiklah jiwaku di sepanjang Ramadhan ini, agar dengannya aku menjadi hambaMu yang bertakwa... Aminn...


"Bermusafir & Berjuanglah"

Tuesday, September 23, 2008

Perhitungan Syahdu !


Hari ini merupakan hari ke 23 kita berada di dalam bulan Ramadhan. Telah 23 hari kita melaksanakan ibadah puasa yang diwajibkan ke atas hambaNya yang bergelar Muslim di setiap kedatangan Ramadhan. Ini juga membuktikan bahawa kita telah berada di malam Ramadhan yang ke 24. Antara 10 malam terakhir Ramadhan, yang di dalamnya dihadiahkan dengan malam Lailatul Qadar. Mungkinkah di waktu saya menulis ini, malam itu telah berlalu? Namun itu bukanlah persoalannya. Malam itu hanya akan disedari oleh hamba-hambaNya yang benar-benar terpilih. Namun bagi mereka yang tidak mengetahui dan tidak pasti, teruskanlah perjuangan hingga ke saat yang terakhir, sebelum Ramadhan melabuhkan tirainya.

Hari ini, di dalam sesi tazkirah setelah selesai rakaat yang ke 4 dalam solat sunat Tarawikh di tempat saya, ustaz yang memberikan tazkir tersebut telah menyentuh tentang penghujung Ramadhan. Bagaimana para solihin dan wali-wali Allah menangis. Mereka menangis lantaran perpisahan yang semakin hampir dengan bulan yang penuh berkat ini. Bulan yang digandakan setiap kebajikan dan diampunkan sekalian hamba yang bertaubat. Bulan yang di dalamnya memiliki malam yang teristimewa, malam Lailatul Qadar. Mereka bimbang, apakah dapat mereka temuinya pada tahun yang akan datang? Namun, hanya Allah yang Maha mengetahui.

Bagaimana pula dengan kita? Kebanyakan dari kita merasakan kegembiraan lantaran sudah begitu hampir dengan Idulfitri. Selepas ini tidak perlu lagi menahan perut untuk berlapar. Yang merokok, selepas ini boleh menyedut asap rokok seperti jadual biasa. Dan yang paling menyedihkan, perbuatan-perbuatan maksiat disambung semula. Tidakkah kita berasa hairan terhadap diri kita sendiri? Apakah kita ini hipokrit terhadap Allah? Mengapa segala amalan-amalan negatif tersebut dapat kita kawal selama sebulan di bulan Ramadhan, tetapi kita tewas seawal di pagi Syawal?

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim... Kau didiklah hati-hati ini di dalam sisa masa Ramadhan yang ada ini untuk kami terus istiqomah sebagaimana istiqomahnya kami di bulan RamadhanMu. Kau jadikanlah kami sebagai hamba yang malu kepadaMu. Kau pimpinlah kami dalam menundukkan nafsu yang tak pernah puas. Redhailah kami & hindarilah kami dari hasutan syaitan yang direjam. Amiin Ya Rabbal A'lamiin...

"Bermusafir & Berjuanglah"

Wednesday, September 17, 2008

Solah Kita...

Solah? Jarang sekali kita mahu meneliti cara bersembahyang kita. Apakah sudah cukup sempurna dalam meraih syurga Firdaus sebagaimana yang dijanjikan Allah di dalam kalamNya:

"Serta orang yang memelihara solahnya. Mereka itulah orang yang mewarisi (syurga) Firdaus. Mereka kekal di dalamnya."
(Al-Mukminun : 9-11)

Atau apakah kita tergolong di dalam golongan berikut:-

Sabda RasululLah s.a.w : "Berapa banyak orang yang mendirikan solah, tetapi mereka hanya memperoleh penat dan lelah sahaja kerana mereka lalai dalam solahnya."

Saudaraku sekalian, merenung kepada perkara di atas, sering membuatkan saya berfikir. Apakah aku termasuk di dalam golongan pertama atau yang ke dua? Kegusaran ini kadangkala membuat diri ini benar-benar berasa terlalu kerdil di sisi Allah. Siapalah kita tanpa pimpinanNya. Siapalah kita tanpa keredhaanNya. Siapalah kita tanpa rahmat dan kasih sayangNya.

Menyedari akan hakikat ini. Marilah kita sama-sama koreksi kembali bermula peringkat pengambilan wudhuk kita lagi. Kadangkala kita memandang remeh akan perkara ini, hakikatnya ia adalah salah satu penentu kesempurnaan solah kita. Seterusnya setiap pergerakan solah kita, diikuti bacaan-bacaannya. Semoga segalanya diterima di sisi Allah.

Mengapa solah itu difardhukan kepada kita sebanyak lima waktu sehari semalam? Pasti ia memiliki hikmah-hikmahnya yang tersendiri. Namun kita lalai dalam memerhatikannya. Mengungkap persoalan ini, eloklah kiranya saya mencadangkan satu buku untuk bacaan kita bersama. Hakikatnya, persoalan solah ini boleh diselidiki daripada pelbagai buku yang ditulis oleh Ustaz-Ustaz atau mereka yang fakih dalam agama di luar sana. Kita bebas mencari dan meneliti. Namun buku yang ingin saya cadangkan ini adalah merupakan karya terakhir Ulama' tersohor iaitu Allahyarham Dato' Haji Ishak Baharom (bekas Mufti Negeri Selangor) yang berjudul : "Solat & Keajaibannya".

Bersamalah kita memperbaiki mutu solah kita bersempena dengan bulan Ramadhan yang dipenuhi dengan Rahmat ini. Semoga ianya mampu mengangkat darjat kita di sisi Allah, dan tergolong dikalangan penghuni Syurga Firdaus. Semoga Allah mengampunkanku di atas kelalaian dan kelemahan solahku selama ini...

"Bermusafir & Berjuanglah"

Thursday, September 11, 2008

Selamat Beribadah!


Bulan Ramadhan pada kali ini benar-benar menyentuh sanubariku. Seawal 1 Ramadhan, aku diuji Allah. Namun AlhamdulilLah, dengan keberkatan Ramadhan, aku dapat melaluinya dengan tenang. Di bulan inilah kita harus berusaha mendidik diri sebaik mungkin agar 30 hari didikan ini menjadi pakaian kita untuk hari-hari dan bulan-bulan mendatang. Secara psikologinya, manusia itu hanya akan membentuk tabiat dengan penumpuan yang berterusan selama beberapa tempoh masa yang tertentu. Dalam erti kata yang lain, istiqomah menjadikan manusia itu benar-benar mantap.

Kadang-kadang kita tidak terfikir, mengapa ya puasa wajib ke atas kita itu ditempohkan selama sebulan? Tidak seminggu atau setahun? Itulah hikmah yang jarang kita ambil tahu. Tempoh masa lebih kurang sebulan yang Allah berikan kepada kita dalam mendidik nafsu dan ketaatan kepadaNya adalah tempoh masa yang cukup ideal. Selebihnya, istiqomah kita dalam bulan-bulan yang mendatang. Namun kita tertanya-tanya, mengapa setiap Ramadhan perlunya berpuasa wajib? Tidak cukupkah hanya sekali dalam seumur hidup untuk kita mendidik nafsu dan membina ketaatan? Ini adalah kerana manusia itu bersifat pelupa, disamping syaitan yang bersumpah untuk menyesatkan manusia. Maka, nafsu itu perlu dididik kembali, agar mengingati Penciptanya.

Hari ini kesyahduan Ramadhan menyelimuti diriku. Kakak angkat tersayang yang juga sahabat baikku merangkap guruku telah berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan Umrah. Suatu ketika dahulu, kami bercadang untuk ke tanah suci bersama. Namun, manusia hanya mampu merancang, Allahlah penentu segala-galanya. Belum ada rezeki lagi buatku untuk menjadi tetamu Allah. Sungguhpun jiwa ini meronta-ronta untuk hadir sebagai tetamuNya, namun aku insaf bahawa hanya mereka yang benar-benar layak akan dipermudahkan urusan bagi menerima jemputan dariNya. Semoga Ramadhan ini benar-benar dapat membersihkan diriku dari sifat-sifat mazmumah.

Kak, semoga urusanmu di dalam keredhaan Allah. Adikmu di tanah air sentiasa mendo'akan agar selamat perjalananmu pergi, selamat berada di rantau orang sebagai tetamu Ar-Rahman dan selamat kembali ke tanah air.

"Bermusafir & Berjuanglah"