Wednesday, April 29, 2009

Coretan Anak Pejuang

AlhamdulilLah, hari ini saya berkesempatan menjenguk sebentar blog ini. Ada sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama pengunjung setia blog "Musafir Perjuangan". Hayatilah coretan hati seorang anak pejuang agama Allah. Anak kepada ibu bapa yang menyerahkan diri dan keluarganya demi mencari dan mengharapkan keredhaan Allah, dan yang lebih penting, atas dasar melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah.


AKU ANAK PEJUANG



“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama ALLah nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
Surah Muhammad : 7

Aku dilahirkan dalam keluarga yang menekankan agama. Ayah ku seorang doktor dan ibuku seorang suri rumah. Mereka juga merupakan aktivis masyarakat dan penggerak sebuah parti Islam yang telah lama bertapak di bumi Malaysia ini.

Sejak kecil saya dan adik beradik yang lain dididik untuk berdidkari dan sentiasa dibawa untuk bersama-sama mengikuti program-program jamaah. Bagi kami istilah seperti usrah, tamrin, tarbiyyah sudah tidak asing lagi. Jika kami tidak ikut serta dalam program, kami sering ditinggalkan di rumah bersama kakak yang sulung yang umurnya pun bukan ketika itu 12 tahun. Kadang-kadang keadaan tersebut menyebabkan aku sering terasa diabaikan kerana kesibukan ayah dan ibu.

Ketika aku meningkat remaja, aku terpilih untuk ke sekolah berasrama penuh. Pada hari pendaftaran aku tidak ditemani oleh ibu bapaku seperti mana sahabat-sahabat lain. Ayah, ibu dan adik-adik berada di luar negara selama setahun kerana tugasan ayah.

Aku cuba untuk hidup berdikari. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, namun kelibat ibu bapaku masih tidak muncul untuk datang melawatku. Setiap kali hari kunjungan keluarga, aku akan menunggu di tepi kantin dengan harapan ibu bapaku akan datang walaupun aku tahu itu tidak mungkin terjadi kerana mereka berada nun jauh di seberang lautan.

Memang benar pepatah mengatakan `penantian satu penyeksaan’. Sekian lama mengharap,pada suatu petang aku mendengar namaku dipanggil di corong pembesar suara. Pada waktu itu hanya Allah yang tahu betapa gembiranya hatiku. Dari jauh aku nampak kelibat ibu bapaku, tanpa di sedari air mata kesyukuran jatuh bercucuran. Penantian setahun kini berakhir.

Pada tahun berikutnya aku menghadapi peperiksaan yang besar iaitu SPM. Seperti sahabat-sahabat lain aku mengharapkan keluarga ku datang untuk memberi semangat kepadaku untuk belajar. Namun setiap kali aku menelefon ibu bapaku pasti mereka akan jawab,` ibu ada program hujung minggu ni ’,` minggu ni ibu ada usrah’,`ayah kena rasmikan majlis ni minggu ni ‘ dan jawapan-jawapan sepertinya yang lain. Jarang sekali mereka berkelapangan untuk datang melawatku di sekolah.

Sahabat-sahabat ku selalu bertanya kepada aku,` anti ni orang Selangor je tapi jarang ana nampak keluarga anti datang’. Aku hanya mendiamkan diri, diam seribu bahasa. Aku tahu jika aku terangkan kepada mereka pun, mereka tidak akan faham. Kadang-kadang pernah terdetik di hati ku, adakah adil semua ini untuk aku. Namun cepat-cepat aku padamkan perasaan itu. Ibu selalu berkata, “kerja-kerja jemaah inilah yang memberi keberkatan dalam hidup kita”. Kenyataan itu tidak dapat aku nafikan. Aku dan adik beradik yang lain lebih mudah memahami sesuatu pelajaran berbanding orang lain. Banyak kejadian dalam hidup keluarga kami membuktikan pertolongan Allah sangat jelas datang membantu.

Contohnya ketika keputusan SPM diumumkan. Aku berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Aku yakin bahawa kejayaan ini hasil keberkatan daripada kerja-kerja jemaah yang dilaksanakan oleh ibu bapaku.

Kini aku pula terlibat dengan kerja-kerja jemaah. Aku mula memahami betapa pentingya perjuangan ini , perjuangan yang tidak menjanjikan ganjaran wang ringgit bahkan kekadang mengundang kebencian manusia. Namun hanya keredhaan Allah didambakan agar agama Allah dapat didaulatkan di atas muka bumi ini. Kerja yang memerlukan banyak pengorbanan ini tidak semua orang sanggup memikulnya. Ada yang gugur di tengah jalan kerana tidak mampu menghadapi cabaran-cabaran dalam berdakwah. Aku mula menyedari dan memahami penglibatan ibu bapaku selama ini.

Kepada semua anak-anak pejuang, janganlah kalian sedih dan rasa terabai kerana janji Allah itu pasti seperti di dalam surah Muhammad ayat ke-7 yang nyatakan di atas tadi. Kepada para pejuang, jangan sesekali ragu-ragu dan merasa bersalah kerana terpaksa meninggalkan anak-anak kerana sibuk dengan perjuangan, kami anak-anakmu memahami dan kami bersedia menjadi penerus perjuangan ini. Yakinlah bahawa Allah tidak akan sia-siakan segala pengorbananmu.....

TAKBIR!!!
CORETAN RASA
Humayra Mawaddah

"Bermusafir & Berjuanglah"

2 comments:

Adik kecil said...

teruskan perjuangan kakakku..
doaku agar akk n adk 'humayra mawaddah' terus thabat dalam perjuangan..Takbir!!..

Adik Fatin said...

moga Allah menyertai perjalanan hidupmu kak humayra.... sungguh kamu merupakan insan istimewa pilihan Allah... hati ini amat tersentuh dengan coretan yg ditulis.. terasa diri ini punya byk kelemahan.. syukran sudi berkongsi pengalaman dgn kami di blog yg penuh barakah ini..