Tuesday, December 16, 2008

Rokok!

Hari Jumaat lepas saya menemani ibu saudara saya menghantar rakannya yang memerlukan bantuan untuk ke satu destinasi kerana keretanya rosak. Tambahan pula waktu itu malam hari. Suaminya pula, ada urusan perniagaan di negara Brunei Darussalam. Selepas selesai urusan, kami berhenti makan di sebuah gerai lantaran perut yang semakin berkeroncong minta diisi. Kami hanya sempat menjamah sarapan pagi sahaja hari itu kerana menyelesaikan beberapa perkara di sepanjang siangnya.

Kedudukan meja makan kami berada di tengah2 gerai tersebut kerana meja-meja yang lain telah dipenuhi oleh pelanggan-pelanggan yang terlebih dahulu datang dari kami. Sedang asyik menjamu selera, tumpuan kami beralih kepada satu bau yang cukup kami kenali. Rokok! itulah bau yang cukup menyeksakan kami di sepanjang kehadiran kami di gerai tersebut. Di kiri, kanan , depan dan belakang kami semuanya berkepul-kepul kelihatan asap rokok ke udara. Suasana ini mengakibatkan selera kami hilang. Makanan, minuman dan pakaian kami melekat bau asap rokok yang ditiup angin ke arah kami.

Di mana kesedaran masyarakat tentang perkara ini? Telah ramai ulama' yang memfatwakan bahawa rokok itu haram lantaran kandungannya yang boleh memberikan mudharat yang besar kepada manusia. Tetapi mengapakah mereka tetap tidak mahu berubah? Kadang-kadang saya merasa pelik. Yang menjadi pengamal setia kepada rokok ini bukan sahaja orang-orang yang tidak berpendidikan tinggi, malah mereka yang hebat pendidikannya hingga ke menara gading, memiliki sijil, diploma, sarjana muda, sarjana, malah doktor falsafah (phD). Bila ditanya bila hendak berhenti merokok, jawabnya takdir akan menentukan. Bukankah syarat perkenannya Allah terhadap sesuatu perkara itu telah ditetapkan Allah. Bermulanya dengan usaha, diikuti dengan berdo'a dan diakhiri dengan tawakkal. Tetapi mengapa kita terus menyerahkannya kepada syarat yang terakhir, sebelum melaksankan dua syarat yang terawal?

Bersamalah kita koreksi diri sendiri...

"Bermusafir & Berjuanglah"