Thursday, January 14, 2010

Rujukan Kita

Setiap yang bergelar manusia, pasti mengalami masalah dalam melayari bahtera kehidupan. Bukan mudah mengemudi bahtera yang di dalamnya sarat dengan 1001 perkara. Untuk menjadi pengemudi yang baik, pastinya seseorang itu perlu hadam manual bahtera tersebut. Namun menghadam manual tersebut belum cukup untuk menjadi pengemudi yang hebat. Kehebatan pengemudi terletak pada ilmu dan pengalaman. Namun kadangkala ilmu dan pengalaman juga tidak mampu menyelesaikan segala masalah dalam kehidupan. Setelah puas dicari penyelesaian kepada masalah-masalah tersebut, ditenung, digali, diteroka dan discan dengan kanta, akhirnya manusia terpaksa akur bahawa segalanya terletak pada dua perkara:-
  1. AL-QURAN
  2. AL-SUNNAH
Sejak saya mula mendekati mereka yang meletakkan agama sebagai pegangan hidup mereka. Sedari alam kampus hinggalah kini, saya tidak putus-putus diingatkan tentang sesuatu perkara yang apabila saya berada dalam keadaan dilema dan keresahan, apakah yang seharusnya saya lakukan...

AL-QURAN SEBAGAI RUJUKAN

Apabila berada dalam ketidaktenangan hati, bukalah Al-Quran dengan niat ingin mencari panduan dariNya. Bukalah dengan lafaz basmallah, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. InsyaAllah, apabila kita buka dan baca makna ayat tersebut, akan ada panduan buat kita dalam menyelesaikan kebuntuan fikiran dan ketidaktenangan hati kita. Yakinlah kerana Al-Quran itu merupakan kalam Allah. Kadangkala kita lebih mempercayai kalam manusia berbanding kalam Allah. Itulah kelemahan manusia.

Dalam pembacaan kita tersebut, tidaklah bulat-bulat ayat itu penyelesai kepada masalah kita. Namun, amatilah ia sejenak, pasti ada kaitan antaranya. Amatilah ia dengan mata hati yang bertujuan benar-benar ingin mencari penyelesaian kepada kemelut yang berlaku. Niatkan ia kerana Allah, kerana ingin menjadikan diri kita sebagai hambaNya yang lebih baik dari hari semalam.

AL-SUNNAH SEBAGAI PANDUAN

Dalam melengkapi panduan kehidupan, pastinya Al-Sunnah tidak dapat ditinggalkan. Al-Sunnah yang dikatakan sebagai penjelas kepada maksud-maksud Al-quran merupakan hubungkait yang sangat rapat sebagai rujukan selepas Al-Quran. RasululLah s.a.w. itu sendiri dikatakan sebagai Al-Quran berjalan. Kerana pada keseluruhan diri Baginda terdapat qudwah hasanah yang perlu diikuti. Cara berpakaian, cara berjalan, cara makan, cara tidur, cara berkomunikasi dan keseluruhan cara hidup Baginda RasululLah s.a.w. sangat cantik untuk kita jadikan sebagai idola.

Ironinya, menjadikan RasululLah sebagai contoh ikutan menjadikan diri kita lebih baik. Namun, sangat ramai di kalangan kita hari ini menjadikan mereka yang tidak sepatutnya sebagai contoh ikutan, yang mengakibatkan kita semakin jauh dari amal Islam. Seandainya kita mengambil pewaris para Nabi (para alim ulamak) sebagai contoh ikutan buat kita, InsyaAllah diri kita akan sentiasa terpandu.

Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan utama buat diri kita. Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya. Mana mungkin Allah S.W.T. menciptakan manusia dengan terumbang-ambing sendirian melayari bahtera kehidupan. Pastinya dengan setiap pinciptaan manusia, langit dan bumi, terdapat manual yang Allah bekalkan untuk penyelenggaraan terbaik... Itulah Al-Quran dan Al-Sunnah...


"Bermusafir & Berjuanglah"