Friday, August 28, 2009

Amalan Pada Bulan Ramadhan


"Bulan Ramadhan bulan yang berkat
Bulan rahmat dan bulan utama
Pahala digandakan do'a diterima
Bulan Lailatul Qadar yang istimewa"

Begitulah rangkap nasyid lama yang masih segar dalam ingatan saya. Keistimewaan bulan Ramadhan yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-hambaNya yang beriman. Tanda rahmat dan kasih sayang Allah pada hambaNya. Bukti Allah tidak pernah mengabaikan kehidupan hambaNya setelah hambanya dicipta. Berikut saya senaraikan antara amalan yang boleh kita lakukan sepanjang Ramadhan ini, dalam meraih dan cintaNya.

  • Jangan luput mengerjakan solat sunat Tarawih dengan berjamaah dan bertahajjud di setiap malam;
  • Perbanyakkan sedekah, memberi hidangan berbuka kepada mereka yang berpuasa;
  • Tetap berjamaah pada setiap solat fardhu, iktikaf di masjid dan membaca Al-Quran;
  • Perbanyakkan bacaan : "Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku mohon kepadaMu akan syurga dan aku mohon perlindunganMu dari neraka". Ketika hendak berbuka atau bila-bila sahaja;
  • Juga perbanyakkan do'a sebagaimana yang disuruh oleh Nabi s.a.w. kepada Aisyah : "Ya Allah, sesungguhnya Engkau pemaaf, suka memberi maaf, maka berilah kemaafan bagiku";
  • Sewaktu berbuka bacalah : "Ya Allah, keranaMu aku berpuasa, dan atas rezekiMu pula aku berbuka dengan rahmatMu, wahai Yang pengasih di antara yang pengasih"
  • Digalakkan menyambut kedatangan Ramadhan dengan do'a : "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Mengasihani. Segala puja dan puji bagi Allah yang telah memuliakan kami dengan naungan bulan Ramadhan, yang turun padanya malaikat-malaikat dan roh-roh yang mulia. Selawat dan salam atas junjungan kami Muhammad, keluarga dan sahabatnya yang mulia. Kami mohon kepadaMu ya Allah, pemeliharaan, keamanan memasuki bulan Ramadhan dan tetapkanlah kami berpuasa Ramadhan. Rahmatilah kami dan berkatilah dalam berpuasa Ramadhan dan perbaikilah segala keadaan kami dan akhlak kami serta sekalian amal kami dalam bulan Ramadhan. Ya Allah, lanjutkan usia kami ini dengan berkat Ramadhan dan jadikanlah puasa kami ini mengikuti segala puasa yang dipuasakan oleh Nabi kami Muhammad s.a.w. dengan rahmatMu, ya Tuhan yang Maha Pemurah dan Mengasihani. Kesejahteraan dan keselamatan atas Nabi Muhammad dan segala puja dan puji bagi Allah Tuhan semesta alam."
"Bermusafir & Berjuanglah"

No comments: