Friday, October 24, 2008

Halal (Bahagian 1)


HALAL...




Satu istilah yang sangat mudah disebut. Ramai yang mengetahui akan istilah ini, tidak kurang yang membincangkan dan kadangkala diperdebatkan. Namun hakikatnya, ianya telah lama disebut oleh Allah di dalam Al-Quran malah di dalam Hadis RasululLah s.a.w.

Berapa ramai ye yang peduli tentang perkara ini? Mungkin ramai, tetapi masih sangat ramai yang tidak ambil peduli. Kita tidak bicara tentang mereka yang bukan Islam. Kita berbicara tentang mereka yang mengucapkan dua kalimah syahadah setiap hari. Paling kurang, sembilan kali sehari kalimah itu terungkap dari bibir mereka yang bernama Muslim. Mereka yang membaca Al-Quran, berpuasa di bulan Ramadhan serta mengeluarkan zakat.

"Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu nyata dan barang yang ada di antara keduanya adalah syubahah yang hampir dengan haram" (mafhum hadis).

“Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata." (Surah Al-Baqarah ayat 168).

Terang dan jelas apa yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadis tentang tuntutan agar kita menitikberatkan persoalan halal dan haram ini. Berikut disenaraikan apakah yang dimaksudkan oleh Al-Quran tentang konsep halalan toyyiba (halal lagi baik) :-

1. Punca makanan - kebanyakan Non-Muslim menganggap hanya khinzir makanan yang haram dalam Islam sedangkan yang haram dimakan termasuk binatang yang bertaring, binatang yang hidup dua alam dan binatang yang jijik seperti cicak dan sebagainya.

2. Kaedah penyembelihan haiwan- Masyarakat bukan Islam tidak tahu konsep penyembelihan haiwan dalam Islam memerlukan penyembelih beragama Islam.

3. Pengurusan dan pemerosesan - membabitkan konsep bersih dan suci. Tempat penyimpanan dan pemerosesan terhindar dari sebarang najis dan tidak bercampur dengan bahan-bahan yang haram.

4. Pengangkutan dan tempat penyimpanan tidak boleh bercampur dengan barangan yang haram seperti khinzir dsbnya seperti yang dilaporkan dalam akhbar beberapa hari lalu kontena yang bercampur daging babi dengan ikan.

5. Penggunaan ramuan atau ingredien- bahan ramuan atau sumbernya hendaklah halal seperti tidak bercampur minyak binatang yang tidak halal, alkohol atau bahan yang memudaratkan kesihatan seperti MSG dll.

6. Peralatan/utensil dapur - tidak boleh bercampur dengan tempat memasak barangan haram seperti khinzir dll termasuk pinggan mangkuk sudu garfu dll.

Dalam perkara ini, penyelesaian paling mudah adalah dengan cara kita mendapatkan sesuatu makanan itu dari sumber-sumber yang kita tahu dan yakin akan pengeluarnya. Jika kita lihat di luar sana, banyak alternatif telah diwujudkan oleh mereka yang menyedari akan peri pentingnya darah daging yang tumbuh subur akibat dari pemakanan ini. Selebihnya terserah kepada kita untuk memilih dan menilainya. Bukankah api neraka itu akan membakar terlebih dahulu tubuh badan yang dagingnya terhasil dari sumber-sumber yang haram... Tepuk dada, tanyalah iman.

"Bermusafir & Berjuanglah"

Saturday, October 18, 2008

Nilai Sebuah Persahabatan!


Hari ini saya berada di tanah tinggi berhampiran dengan puncak Genting Highlands. Kebetulan ada sedikit urusan di sini. Sejuk, itulah lumrah apabila berada di tanah tinggi. Mujur saya bawa Kopi Radix (mai secawan) sebagai bekalan ;-), itupun abang ipar saya yang ingatkan. Maklumlah, dalam kekalutan membuat persiapan ke destinasi bermusafir, kadangkala kita tak mampu nak ingat semua. Kalaupun mula-mula ingat, tetapi dalam tak sedar terlupa pula. Em, itulah lumrah sifat manusia, insan yang sememangnya pelupa. Kerana itulah Allah S.W.T. mewahyukan kepada RasululLah s.a.w. satu surah yang mengingatkan manusia akan perkara ini:-


"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati kepada kebenaran serta saling menasihati kepada kesabaran." (Al-Asr : 103)


Kerana sifat pelupa manusia itulah, maka kita dituntut supaya berada di dalam Jamaah. Memiliki teman rapat yang sentiasa memandu diri kita, menasihati dan memberikan kekuatan kepada kita di dalam melayari bahtera kehidupan yang sememangnya penuh dengan mehnah dan tribulasi. Pernah saya ditegur oleh seorang teman tentang kesungguhan saya dalam bersahabat. Dia menyatakan kepada saya bahawa sahabat itu tidak akan dibawa masuk ke kubur. Saya terdiam mendengar kata-katanya. Merenung dan berfikir. Benar, sahabat tidak dapat dibawa ke kubur. Hatta orang-orang yang kita sayang (ibu, ayah, adik-beradik, suami, isteri dan sebagainya) juga tidak boleh dibawa ke kubur. Yang dibawa ke kubur hanyalah amalan. Jika begitulah apa yang dimaksudkan oleh teman saya itu, maka manusia itu tidak perlu berukhuwwah dengan ayah, ibu, adik-beradik dan juga tidak perlu berkahwin dan memiliki suami ataupun isteri.

Namun hakikatnya, memiliki sahabat itu bisa mendekatkan kita kepada Allah S.W.T. yang secara tidak langsung sebagai amalan kita di dalam kubur dan teman kita di akhirat kelak. Sebab itulah RasululLah berpesan kepada kita agar kita bijak memilih sahabat. Cara mudah, jika kita hendak kenal seseorang itu, maka lihatlah dengan siapa dia berkawan, secara tidak langsung kita dapat mengenali diri dan peribadinya.

Kita ambil contoh seorang anak kecil, yang telah bersama dengan keluarganya. Pasti kita lihat, dalam tempoh pembesarannya, akan kita temui sifat-sifat atau gayanya seperti orang tuanya lantaran itulah kehidupan yang dilaluinya seharian. Ini samalah juga dengan prinsip bersahabat. Dalam erti kata yang mudah, "Salah pilih kawan, bererti kita salah pilih masa depan." Samada masa depan di dunia mahupun masa depan di akhirat kelak, kedua-duanya saling berkait rapat.

"Bermusafir & Berjuanglah"

Tuesday, October 14, 2008

Salam Syawal

AlhamdulilLah, hari ini saya berkesempatan kembali menulis di dalam blog ini setelah hampir separuh bulan kita menyambut Syawal. Bermula satu Syawal sehinggalah ke hari ini aktiviti saya begitu padat. Maklumlah, saya sahaja yang belum berkeluarga. Melayan ummi beraya di rumah saudara mara di Negeri Sembilan, Johor dan Selangor. Saya berasa sangat letih, namun saya gembira kerana telah memberikan sedikit kegembiraan kepada ummi. Hanya itulah sahaja yang mampu saya lakukan setelah pemergian arwah ayah dan nenek tersayang.

AlhamdulilLah, saya berkesempatan untuk menunaikan solat sunat Eidulfitri pada pagi 1 Syawal yang lalu. Setelah itu, saya membawa ummi dan adik bongsu saya berserta suaminya menziarahi pusara arwah ayah. Kemudian kami terus ke rumah saudara mara arwah ayah di Kuala Pilah. 2 Syawal, kami bertolak ke Johor. Menziarahi pusara arwah nenek, atuk, onyang dan ibu saudara di sana. Dua hari kami menziarahi kubur. Terasa begitu hampir diri ini dengan kematian. Apakah nasibku di sana nanti? Semoga roh mereka dan saya juga ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan di dalam keredhaanNya jua.


"Bermusafir & Berjuanglah"

Tuesday, September 30, 2008

Penghujung Ramadhan

Hari ini genaplah sudah 30 Ramadhan. Ini bermakna kita benar-benar telah berada di penghujung Ramadhan. Apabila berkumandangnya azan Maghrib nanti, menjelmalah sudah 1 Syawal. Petanda kemenangan umat Islam di seluruh dunia lantaran berjaya mengekang nafsu di sepanjang bulan Ramadhan. Dan tanpa kita sedari, solat Maghrib, Isya', Tarawikh, Witir dan Qiamullail semalam adalah merupakan solah yang terakhir di bulan al-Mubarak ini. Maka awaslah, dengan musuh-musuh kita yang akan berkeliaran kembali setelah tenggelamnya matahari pada petang ini.

Semalam saya bertarawikh di Rawang, Selangor. Kebetulan ada urusan di rumah ibu saudara saya di sana. Tak sempat nak balik ke KL sebelum berbuka. Pada mulanya saya bercadang hendak bertarawikh di Masjid kawasan Rawang, tetapi disebabkan masa yang terbatas, saya bertarawikh di surau taman perumahan kawasan ibu saudara saya menetap.

Imam di surau tersebut hanya membaca surah-surah pendek sahaja di sepanjang solat sunat Tarawikh, tetapi hati saya benar-benar terasa syahdu. Apatah lagi dengan bacaan do'a yang kedengaran suara imam menangis. Ini ditambah pula dengan linangan air matanya ketika sesi tazkirah. Ya Allah, terasa benar-benar sebak dan hiba. Benar kata adik sepupu saya, bacaan imam ini sedap walaupun dia bukanlah seorang Hafiz. Segalanya membuatkan saya merenung dan berfikir, benarlah sebagaimana janji Allah, Dia akan memberikan kefahaman Agama itu kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Semoga kita tergolong di kalangan mereka yang diberikan kefahaman Agama oleh Allah S.W.T.

Pesan imam tersebut, jangan kita abaikan solat sunat Eidulfitri kerana ianya adalah kekecewaan besar Iblis Laknatullah terhadap hamba-hambaNya yang mengerjakannya setelah berpuasa di bulan Ramadhan. Sia-sialah segala tipu daya dan hasutan Iblis Laknatullah berserta kuncu-kuncunya selama tempoh setahun yang sudah, kerana mereka yang mengerjakannya dengan sempurna, dibersihkan oleh Allah dari dosa-dosanya ibarat bayi yang baru dilahirkan. Semoga kita corakkannya dengan amalan-amalan syurga sebagai bekalan kita kembali kepadaNya.

"Bermusafir & Berjuanglah"

Sunday, September 28, 2008

Khusyuk & Detik-Detik Terakhir!

AlhamdulilLah, saya baru sahaja balik dari Tarawikh malam Ramadhan yang ke 29. Ini bermakna, hanya berbaki 1 malam sahaja untuk kita berada di dalam medan fadhilat Tarawikh yang kita sedia maklum sangat hebat pemberian dariNya. Di tempat saya, terdapat 2 orang Hafiz yang mengimami solat sunat Tarawikh. Namun saya sangat suka kepada salah seorang darinya. Bukan sukakan rupa parasnya (wajahnya pun saya tak pernah lihat), tetapi hati saya sangat tertarik kepada bacaan surah di dalam solahnya. Cukuplah dengan dia memulakan dengan surah al-Fatihah, itu sudah memadai untuk saya menitiskan air mata. Terasa benar-benar syahdu. Entah bilakah lagi dapat saya dengarkan bacaan al-Fatihah darinya selepas ini. Saya ingin menjadi sepertinya. Bacaan Fatihah dapat diserap terus ke dalam jiwa dan sanubari, bersatunya hati dengan Pencipta. Di waktu itu, penumpuan sememangnya tertumpu kepada solah semata-mata, InsyaAllah.

Mencari kekhusyukan di dalam solah tidak semudah kita menyebutnya. Tidak semua orang sama kaedah dan caranya. Segalanya bergantung kepada keselesaan masing-masing. Namun para ulama' terdahulu telah meninggalkan kepada kita sedikit sebanyak panduan untuk mencapai kekhusyukan tersebut. Antaranya, sebagaimana yang dilakukan oleh seorang abid bernama Hatim al-Assam. Sebelum bersolah, beliau akan berwudhuk zahir dan batin;


Wudhuk Zahir:-

Sebagaimana biasa iaitu membasuh anggota-anggota wudhuk dengan air.

Wudhuk Batin:-
  1. Bertaubat;
  2. Menyesali dosa yang telah dilakukan;
  3. Tidak tergila-gilakan dunia;
  4. Tidak mencari atau mengharapkan pujian;
  5. Tinggalkan sifat bangga diri;
  6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu;
  7. Meninggalkan sifat dengki.

Sewaktu Solah :-

  1. Berdiri dengan waspada dan merasakan sedang berhadapan dengan Allah;
  2. Merasakan Syurga di sebelah kanan;
  3. Merasakan Neraka di sebelah kiri;
  4. Merasakan Malaikat Maut di belakang;
  5. Merasakan seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratul Mustaqim';
  6. Menganggap bahawa ia adalah solah yang terakhir;
  7. Berniat dan bertakbir dengan baik;
  8. Fahami makna setiap bacaan dan do'a dalam solah;
  9. Rukuk dan sujud dengan tawadhuk;
  10. Bertasyahud dengan penuh pengharapan;
  11. Memberikan salam dengan ikhlas.

Semoga kita sama-sama mendapat kekhusyukan di dalam setiap solah kita, agar kemanisannya dapat kita rasai.


"Bermusafir & Berjuanglah"

Friday, September 26, 2008

Pencarian Ketenangan


KETENANGAN... Itulah istilah yang didambakan oleh setiap yang bernama manusia. Tidak mengira keturunan, latar belakang, usia, pangkat mahupun kekayaan atau kemiskinan. Semuanya memerlukan ketenangan dalam diri. Biarpun kadangkala kita melihat seseorang itu berserabut dengan pelbagai masalah atau kerenah, namun pasti jauh di sudut hati kecilnya, dia merindui secebis ketenangan.

Begitulah juga dengan saya. Hanya ketenangan yang mampu membuatkan saya menulis di dalam medan elektronik ini. Tanpa ketenangan, tidak mungkin saya membuat sebarang coretan di sini. Namun, di bulan Ramadhan yang mulia ini, kecenderungan saya menulis adalah di waktu malam hari. Selepas selesai menunaikan solat sunat Tarawikh dan Witir berjamaah di Masjid yang berhampiran, hati saya tergerak untuk menulis sesuatu di sini. Biarpun ianya hanya sekadar peringatan yang telah biasa diketahui umum. Waktu siang, bukan laptop dan blog ini tidak dibuka, tetapi saya tidak mampu untuk menulis. Entahlah, mungkin ketenangan tidak benar-benar dirasai.

Bagaimana ya gambaran ketenangan itu? Em.., persoalan yang sukar dan tidak mungkin dapat saya jawab. Gambarannya hanya dapat dilihat oleh orang-orang yang merasai. Merasai ketenangan tidaklah sukar, malah ianya tidak juga mudah. Ketengan itu hanya akan dirasai oleh orang-orang yang beriman. Tanyalah kepada mereka yang asalnya bukan Muslim. Apakah perasaan mereka setelah menerima Islam? Pasti jawapannya adalah ketenangan yang tidak dapat digambarkan. Hanya mereka yang merasai kemanisannya.

Hakikatnya, sukarkah untuk kita memilikinya? Kembali kepada Pencipta, serahkan diri kita kepadaNya, sujud padaNya di kala insan lain tenggelam di dalam mimpi. InsyaAllah, ketenangan itu akan kita miliki. Kehebatannya akan kita rasai, di dalam sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya.

Bukan mudah menulis di sini apabila dicermin di dalam diri. Siapalah saya berbanding insan lain. Siapalah saya yang hina ini di sisi Yang Maha Esa. Namun do'a saya, biarlah apa yang saya coretkan menjadi pakaian saya seharian. Semoga ilmu bermanfaat yang dikongsikan bersama adalah tabungan saham saya di akhirat kelak. Juga sebagaimana sabda Rasul tercinta "Sampaikanlah oleh kamu walau sepotong ayat".

Ya Allah, didiklah jiwaku di sepanjang Ramadhan ini, agar dengannya aku menjadi hambaMu yang bertakwa... Aminn...


"Bermusafir & Berjuanglah"

Tuesday, September 23, 2008

Perhitungan Syahdu !


Hari ini merupakan hari ke 23 kita berada di dalam bulan Ramadhan. Telah 23 hari kita melaksanakan ibadah puasa yang diwajibkan ke atas hambaNya yang bergelar Muslim di setiap kedatangan Ramadhan. Ini juga membuktikan bahawa kita telah berada di malam Ramadhan yang ke 24. Antara 10 malam terakhir Ramadhan, yang di dalamnya dihadiahkan dengan malam Lailatul Qadar. Mungkinkah di waktu saya menulis ini, malam itu telah berlalu? Namun itu bukanlah persoalannya. Malam itu hanya akan disedari oleh hamba-hambaNya yang benar-benar terpilih. Namun bagi mereka yang tidak mengetahui dan tidak pasti, teruskanlah perjuangan hingga ke saat yang terakhir, sebelum Ramadhan melabuhkan tirainya.

Hari ini, di dalam sesi tazkirah setelah selesai rakaat yang ke 4 dalam solat sunat Tarawikh di tempat saya, ustaz yang memberikan tazkir tersebut telah menyentuh tentang penghujung Ramadhan. Bagaimana para solihin dan wali-wali Allah menangis. Mereka menangis lantaran perpisahan yang semakin hampir dengan bulan yang penuh berkat ini. Bulan yang digandakan setiap kebajikan dan diampunkan sekalian hamba yang bertaubat. Bulan yang di dalamnya memiliki malam yang teristimewa, malam Lailatul Qadar. Mereka bimbang, apakah dapat mereka temuinya pada tahun yang akan datang? Namun, hanya Allah yang Maha mengetahui.

Bagaimana pula dengan kita? Kebanyakan dari kita merasakan kegembiraan lantaran sudah begitu hampir dengan Idulfitri. Selepas ini tidak perlu lagi menahan perut untuk berlapar. Yang merokok, selepas ini boleh menyedut asap rokok seperti jadual biasa. Dan yang paling menyedihkan, perbuatan-perbuatan maksiat disambung semula. Tidakkah kita berasa hairan terhadap diri kita sendiri? Apakah kita ini hipokrit terhadap Allah? Mengapa segala amalan-amalan negatif tersebut dapat kita kawal selama sebulan di bulan Ramadhan, tetapi kita tewas seawal di pagi Syawal?

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim... Kau didiklah hati-hati ini di dalam sisa masa Ramadhan yang ada ini untuk kami terus istiqomah sebagaimana istiqomahnya kami di bulan RamadhanMu. Kau jadikanlah kami sebagai hamba yang malu kepadaMu. Kau pimpinlah kami dalam menundukkan nafsu yang tak pernah puas. Redhailah kami & hindarilah kami dari hasutan syaitan yang direjam. Amiin Ya Rabbal A'lamiin...

"Bermusafir & Berjuanglah"

Wednesday, September 17, 2008

Solah Kita...

Solah? Jarang sekali kita mahu meneliti cara bersembahyang kita. Apakah sudah cukup sempurna dalam meraih syurga Firdaus sebagaimana yang dijanjikan Allah di dalam kalamNya:

"Serta orang yang memelihara solahnya. Mereka itulah orang yang mewarisi (syurga) Firdaus. Mereka kekal di dalamnya."
(Al-Mukminun : 9-11)

Atau apakah kita tergolong di dalam golongan berikut:-

Sabda RasululLah s.a.w : "Berapa banyak orang yang mendirikan solah, tetapi mereka hanya memperoleh penat dan lelah sahaja kerana mereka lalai dalam solahnya."

Saudaraku sekalian, merenung kepada perkara di atas, sering membuatkan saya berfikir. Apakah aku termasuk di dalam golongan pertama atau yang ke dua? Kegusaran ini kadangkala membuat diri ini benar-benar berasa terlalu kerdil di sisi Allah. Siapalah kita tanpa pimpinanNya. Siapalah kita tanpa keredhaanNya. Siapalah kita tanpa rahmat dan kasih sayangNya.

Menyedari akan hakikat ini. Marilah kita sama-sama koreksi kembali bermula peringkat pengambilan wudhuk kita lagi. Kadangkala kita memandang remeh akan perkara ini, hakikatnya ia adalah salah satu penentu kesempurnaan solah kita. Seterusnya setiap pergerakan solah kita, diikuti bacaan-bacaannya. Semoga segalanya diterima di sisi Allah.

Mengapa solah itu difardhukan kepada kita sebanyak lima waktu sehari semalam? Pasti ia memiliki hikmah-hikmahnya yang tersendiri. Namun kita lalai dalam memerhatikannya. Mengungkap persoalan ini, eloklah kiranya saya mencadangkan satu buku untuk bacaan kita bersama. Hakikatnya, persoalan solah ini boleh diselidiki daripada pelbagai buku yang ditulis oleh Ustaz-Ustaz atau mereka yang fakih dalam agama di luar sana. Kita bebas mencari dan meneliti. Namun buku yang ingin saya cadangkan ini adalah merupakan karya terakhir Ulama' tersohor iaitu Allahyarham Dato' Haji Ishak Baharom (bekas Mufti Negeri Selangor) yang berjudul : "Solat & Keajaibannya".

Bersamalah kita memperbaiki mutu solah kita bersempena dengan bulan Ramadhan yang dipenuhi dengan Rahmat ini. Semoga ianya mampu mengangkat darjat kita di sisi Allah, dan tergolong dikalangan penghuni Syurga Firdaus. Semoga Allah mengampunkanku di atas kelalaian dan kelemahan solahku selama ini...

"Bermusafir & Berjuanglah"

Thursday, September 11, 2008

Selamat Beribadah!


Bulan Ramadhan pada kali ini benar-benar menyentuh sanubariku. Seawal 1 Ramadhan, aku diuji Allah. Namun AlhamdulilLah, dengan keberkatan Ramadhan, aku dapat melaluinya dengan tenang. Di bulan inilah kita harus berusaha mendidik diri sebaik mungkin agar 30 hari didikan ini menjadi pakaian kita untuk hari-hari dan bulan-bulan mendatang. Secara psikologinya, manusia itu hanya akan membentuk tabiat dengan penumpuan yang berterusan selama beberapa tempoh masa yang tertentu. Dalam erti kata yang lain, istiqomah menjadikan manusia itu benar-benar mantap.

Kadang-kadang kita tidak terfikir, mengapa ya puasa wajib ke atas kita itu ditempohkan selama sebulan? Tidak seminggu atau setahun? Itulah hikmah yang jarang kita ambil tahu. Tempoh masa lebih kurang sebulan yang Allah berikan kepada kita dalam mendidik nafsu dan ketaatan kepadaNya adalah tempoh masa yang cukup ideal. Selebihnya, istiqomah kita dalam bulan-bulan yang mendatang. Namun kita tertanya-tanya, mengapa setiap Ramadhan perlunya berpuasa wajib? Tidak cukupkah hanya sekali dalam seumur hidup untuk kita mendidik nafsu dan membina ketaatan? Ini adalah kerana manusia itu bersifat pelupa, disamping syaitan yang bersumpah untuk menyesatkan manusia. Maka, nafsu itu perlu dididik kembali, agar mengingati Penciptanya.

Hari ini kesyahduan Ramadhan menyelimuti diriku. Kakak angkat tersayang yang juga sahabat baikku merangkap guruku telah berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan Umrah. Suatu ketika dahulu, kami bercadang untuk ke tanah suci bersama. Namun, manusia hanya mampu merancang, Allahlah penentu segala-galanya. Belum ada rezeki lagi buatku untuk menjadi tetamu Allah. Sungguhpun jiwa ini meronta-ronta untuk hadir sebagai tetamuNya, namun aku insaf bahawa hanya mereka yang benar-benar layak akan dipermudahkan urusan bagi menerima jemputan dariNya. Semoga Ramadhan ini benar-benar dapat membersihkan diriku dari sifat-sifat mazmumah.

Kak, semoga urusanmu di dalam keredhaan Allah. Adikmu di tanah air sentiasa mendo'akan agar selamat perjalananmu pergi, selamat berada di rantau orang sebagai tetamu Ar-Rahman dan selamat kembali ke tanah air.

"Bermusafir & Berjuanglah"

Wednesday, May 14, 2008

Hamba Yang Lemah

Sesekali merenung ke dalam diri, terasa diri benar-benar lemah di sisi Allah. Tak punya apa-apa melainkan jasad dan roh yang dipinjamkan. Di kala diri terlupa, terasa bagai diri ini boleh melakukan apa jua tanpa memikirkan Sang Pencipta.

Mengapa ya? Kerana syaitan durjana? Apakah selayaknya syaitan itu yang dipersalahkan? Bukankah sedari kecil kita diajar bahawa syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kita. Syaitan akan sentiasa menyesatkan manusia dan membawa manusia ke lembah yang hina sebagaimana janjinya sejak Nabi Adam a.s. dicipta lagi. Sehingga kita lupa bahawa nafsu telah menguasai kita. Namun kita dianugerahkan Allah dengan aqal yang bisa menguasai segala-galanya. Tetapi kita seringkali gagal menggunakan aqal tersebut dengan bijaksana. Gagal menggunakan ni'mat Allah sebaik-baiknya.

Sedarlah wahai diri, bahawa kamu akan kembali kepadaNya. Segalanya akan dipertanggungjawabkan. Pilihan terletak di tanganmu sendiri. Jalan ke Syurga atau sebaliknya. Semoga Allah sentiasa memimpin kita...Aminn...

"Bermusafir & Berjuanglah"

Wednesday, March 26, 2008

Salam Perjuangan

Bismillahirrahmanirrahim.....

Hari ini saya kembali menulis setelah lama menyepi. Bukan melarikan diri tetapi terlalu banyak amanah yang perlu digalas di bahu ini. Tempoh sebelum pilihanraya benar-benar banyak menguji kesabaran saya di dalam kehidupan. Kini segala-galanya telah selesai, namun masih belum berakhir kerana kita kembali diberikan amanah oleh Allah pula sebagai pemerintah. Secara logiknya, sebenarnya bebanan kerja semakin bertambah. Ini memang tidak dapat saya nafikan kerana kini saya juga pening memikirkan segala-galanya.

Ya Allah, rasa terlalu berat tanggungjawab yang telah Engkau berikan ini. Namun aku tetap yakin bahawa tidak Kau bebankan seseorang itu dengan bebanan yang tidak sanggup dipikulnya. Tinggal lagi, semangat yang jitu harus digembeling untuk melihat syiarMu berkembang luas.

Ya Allah, Kau bimbinglah kami di dalam perjuangan ini. Jangan Kau bolak-balikkan hati-hati kami setelah Kau beri petunjukMu. Sesungguhnya kami terlalu lemah tanpa pimpinanMu Ya Allah.... Amin Ya Rabbal A'lamin...

"Bermusafir & Berjuanglah"

Friday, November 30, 2007

Salam Ingatan

Agak lama saya tidak menulis di dalam tinta elektronik ini. Keterbatasan masa serta sedikit kesibukan menyebabkan medan ini sedikit terabai. Apapun, sama-samalah kita mencari pengisian atau tazkir buat diri kita melalui apa cara sekalipun. Jika tidak sempat di alam maya ini, hadirilah majlis-majlis ilmu mahupun bacalah bahan-bahan bacaan yang memberikan peringatan buat diri kita yang lupa sebagai suntikan semangat ...

Teringat pesanan naqib saya boleh dikatakan di dalam setiap usrah yang dibuat; "Perjalanan untuk Islam ini panjang, itulah sunnatullahnya perjuangan Islam. Sesiapa yang inginkan kemenangan yang cepat, itulah yang seringkali futur di pertengahan jalan." Saya berpesan terutamanya kepada diri saya sendiri, kemenangan itu adalah milik Allah. Kita bukanlah penentunya. Namun, tanggungjawab kita sebagai hamba Allah dan khalifah, menuntut kita untuk tidak berhenti dari menyusuri medan sunnah ini. Diciptakan manusia sebagai khalifah. Pastilah sangat besar tanggungjawab yang harus dipikul atas nama khalifah tersebut.

Sama-samalah kita muhasabah diri, apakah mampu kita menyelesaikan tugas kita sebelum roh terpisah dari jasad. Sebelum diri berangkat ke alam Barzakh. Sebelum disoal di mahkamah Allah...

"Bermusafir & Berjuanglah"

Friday, September 14, 2007

Ramadhan


Kedatangan Ramadhan Indah Dirasa,
Lailatul Qadar Seiring Dengannya,
Mohon Maaf Segala Dosa,
Minta Halal Segala-Galanya.

Salam Ramadhan Al-Mubarak buat sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah...

Semoga kehadiran Ramadhan ini disambut dengan penuh kesyukuran, diundang dengan pembersihan jiwa dan raga, dihidang dengan amal dan taqwa, dilayan dengan pengharapan keredhaan. Buatlah yang terbaik dalam menyambutnya, kerana tahun hadapan belum tentu kita bertemu lagi dengannya. Sama-sama kita letakkan niat yang suci dan ikhlas, agar kita dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar. Kita rasai nikmatnya, kita perdalami keindahannya.

Ya Allah, bantulah kami menggapai redha dan cintamu. Tetapkanlah kami di dalam perjuangan ini, dan matikanlah kami sebagai para syuhada untuk perjuangan agamaMu.

Amiin Ya Rabb...

"Bemusafir & Berjuanglah"

Saturday, August 4, 2007

Tabahkah Kita?

Bandar Taif adalah bandar kedua besarnya di Hijaz. Di sanalah Bani Thaqif iaitu satu suku kaum yang ramai bilangannya tinggal. Rasulullah s.a.w telah pergi ke Taif dengan harapan dapat memujuk mereka memeluk Islam dan dengannya dapat menjadi tempat perlindungan orang Islam daripada kekejaman orang-orang kafir Quraisy serta menjadi tapak pengembangan Islam selanjutnya.

Namun malangnya, bukan sahaja mereka menolak seruan Rasulullah tersebut, malah menghina dan melayan baginda dengan kasar. Mereka mencemuh baginda Rasul dengan kata-kata yang keji dan kesat. Mereka menghalau baginda keluar dari kawasan penempatan mereka dengan ejekan dan cemuhan.

Rasulullah yang berhati cekal, dan penuh ketabahan tidak berputus asa dengan halangan yang diterima. Baginda terus menerus berusaha menyampaikan risalah Allah di bumi Taif. Namun, setelah menyedari usaha selanjutnya akan gagal, Baginda mengambil keputusan untuk meninggalkan Taif. Tetapi mereka tidak membiarkan baginda berlalu dengan aman dengan menghantar budak-budak nakal mengejar, menghalau, mengejek dan membaling batu ke arahnya. Begitu banyak sekali batu yang direjam ke arah Rasulullah, sehingga mengalir darah di seluruh badan baginda hingga menggenangi kasutnya. Dalam keadaan yang menyedihkan itu, baginda meninggalkan bandar Taif. Setelah agak jauh, baginda menadah tangan berdoa;

"Wahai Allah! KepadaMu aku mengadu di atas kelemahan tenagaku, kekurangan diriku serta kecilnya pandangan manusia terhadap diriku. Wahai Zat yang Maha Rahim dan Maha Penyayang! Engkaulah Robb bagi yang lemah. Kepada siapakah Engkau telah serahkan diriku, kepada musuh yang tidak bersimpati yang menghinaku atau kepada orang asing Engkau telah beri kuasa untuk menguasai hal ehwalku? Suatupun tidak aku pedulikan kecuali kuharapkan diriku dalam perlindunganMu. Daku pohonkan Nur lindunganMu, Nur yang menyingkap kegelapan dan memberi cahaya kepada langit dan Zat yang menguasai segala isi dunia dan akhirat. Janganlah aku mendatangkan kemurkaanMu atau Engkau tidak menyenangiku, aku mesti menghapuskan apa sahaja sebab yang menimbulkan ketidaksukaanMu sehinggalah Engkau redha terhadapku. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan Engkau."
Penghuni langit sebak mendengar doa tersebut. Muncullah Jibril a.s di hadapan Rasulullah saw, memberi salam dan berkata;
"Allah mengetahui apa yang berlaku antara dirimu dengan orang-orang ini. Dia telah mengutuskan seorang Malaikat yang menguasai gunung-ganang untuk menunaikan perintahmu."
Malaikat tersebut memberi salam kepada Rasulullah dan berkata;
"Wahai Nabi Allah! Aku sedia menurut perintah tuan, jikalau tuan ingin, aku boleh menyebabkan gunung-ganang yang menghala ke tempat ini kedua-dua belahnya berlaga dan menghempap mati penduduk di sini atau tuan boleh suruh lain-lain cara pembalasanterhadap mereka."
Jawab Rasulullah;
"Walaupun orang-orang ini tidak menerima Islam, aku berharap kepada Allah akan lahir dari keturunan mereka orang-orang yang menyembah Allah dan berjuang ke jalanNya."

Saudaraku..,
Lihatlahlah akhlaq Rasulullah yang mulia. Kita mengaku menurutinya, namun seringkali kita rasa tersinggung walau hanya dengan gangguan yang kecil atau cacian dari seseorang, hingga kita membalasnya atau berdendam seumur hidup kita. Baginikah sifat mereka yang mendakwa dirinya sebagai pengikut Nabi? Lihatlah walaupun Baginda menerima pelbagai penderitaan dan kekejaman serta berpeluang untuk membalasnya, namun Baginda tidak sedikitpun mengutuk apatah lagi membalas dendam.

"Bermusafir & Berjuanglah"

Wednesday, August 1, 2007

Jangan Berbangga Dengan Keturunan

Imam Ibnul Wardi menasihati anak-anak & muridnya:-
Jangan engkau mendabik dada sambil berkata: "Nenek moyangku begini-begini kehebatannya". Tetapi harga diri seorang pemuda itu, apa yang telah dihasilkannya sendiri?
Seseorang boleh menjadi pemimpin bukan berdasarkan warisan dari bapanya. Bukankah karat tembaga itu boleh hilang disebabkan dilebur.
Bukankah bunga mawar yang harum itu tumbuh di celah-celah duri yang banyak!. Dan bukankah bunga narjis yang harum itu tumbuh di celah-celah busuknya bawang!.
Walaupun demikian, aku tetap bersyukur kepada Allah bahawa aku dari zuriat Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq r.a.
Sebenarnya harga diri seseorang itu bergantung kepada kemampuannya. Kalau banyak maka banyaklah, jika sedikit maka sedikitlah.
Keterangan
Jangan sekali-kali kita berbangga dengan nasab atau keturunan, kerana yang demikian itu bukan hasil dari usaha kita. Nilai diri bergantung kepada usaha dan kepandaian sendiri. Banyak usaha kita maka tinggilah nilainya dan begitulah sebaliknya.
Berapa banyak pemimpin dunia yang lahir bukan dari keluarga bangsawan, tetapi hanya dari keluarga biasa. Bahkan kalau ada kesungguhan yang luar biasa, walaupun kita dari keturunan yang dipandang rendah oleh orang lain, namun pasti kita akan dapat mencapai ketinggiannya. Itulah jati diri kita. Bukankah kita melihat bunga yang indah itu letaknya di tengah-tengah duri yang tajam. Dan bukankah bunga narjis yang harum itu biasanya tumbuh di celah-celah kebusukan bawang.
Ya, keturunan yang baik itu merupakan satu keistimewaan tetapi bukan untuk dibanggakan. Ia merupakan satu hadiah tambahan, bukan punca penilaian.
"Bermusafir & Berjuanglah"