Thursday, November 5, 2009

Perlukah Kepada Boikot?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Segala pujian hanya layak bagi Allah, pemilik sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan tercinta, RasululLah s.a.w. yang bermandi peluh, air mata dan darah dalam menyampaikan risalah Islam yang kita nikmati hari ini. Tidak lupa juga buat seluruh para pejuang Islam seluruh dunia dari dulu hinggalah ke hari ini, samada yang telah gugur syahid membenarkan apa yang dikata, mahupun yang masih meneruskan perjuangan dalam membenarkan kalam Allah dan Rasul. Moga kita semua ditempatkan di kalangan mereka insyaAllah...

Saya, sebagai hamba Allah yang hina dan jahil ini, melakarkan tulisan di dalam blog ini dengan penuh rasa tunduk dan merendah diri. Saya sedar, mungkin saya bukanlah orang yang selayaknya untuk menulis di sini. Namun menyedari akan pesanan RasululLah s.a.w.: "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat". Maka saya terpanggil untuk menulis.

Baru-baru ini saya telah ditegur oleh seorang sahabat tentang kesungguhan saya memboikot barangan yang menyumbang kepada dana Yahudi. Saya diperli habis-habisan tanpa saya dapat mempertahankan diri kerana menghormati akan kedudukannya. Apa yang cukup saya kesalkan adalah kenyataannya yang seolah-olah mengajak kepada "tidak perlu memboikot". Saya tidak kisah seandainya beliau tidak mahu memboikot atau tidak mampu untuk memboikot. Tetapi janganlah pula menghalang usaha orang lain untuk memboikot dan mengajak orang lain kepada memboikot. Berikut adalah antara kenyataan sahabat saya, dan di bawahnya, saya cuba untuk menjawab kepada setiap kenyataan tersebut;
  • Mengambil keputusan untuk tidak membeli barangan boikot, tetapi membeli barangan keluaran orang-orang kafir yang lain, sama jugalah. Beli barangan orang kafir juga namanya. (J: Saya berusaha untuk memboikot dan mengajak orang lain untuk memboikot, bukan atas dasar barangan keluaran orang-orang kafir, sebaliknya atas dasar barangan tersebut menyumbang kepada dana Yahudi laknatulLah, yang digunakan untuk menghapuskan ummat Islam di seluruh dunia, samada secara terang-terangan mahupun secara halus).
  • Apakah barangan gantian untuk barang-barang yang diboikot? (J: Setakat ini tidak dapat dinafikan, memang masih kurang barangan gantian tersebut, namun setakat pengamatan saya, sekadar barangan keperluan harian InsyaAllah, ada alternatifnya. Sekalipun ada di antara barangan tersebut yang tiada barang gantian, namun selagimana dengan tidak membeli barangan tersebut tidak mendatangkan sebarang mudharat kepada kita, maka apalah salahnya untuk kita berusaha. Melainkan barangan yang tiada alternatif langsung, sebagai contoh barangan komputer.).
  • Awak cakap senanglah, awak belum ada keluarga dan anak-anak. (J: Mungkin saya masih belum berkeluarga, namun jika kakak saya yang sudah punya keluarga dan anak-anak boleh lakukan, kenapa orang Islam yang lain tidak?).
  • Kalau setakat seorang dua yang bertindak memboikot, tidak memberikan kesan apa-apa pun. (J: Ya, bermula dengan seorang, kita mengajak kepada beramai-ramai sebagaimana konsep dakwah dan sebagaimana Sirah. InsyaAllah, kita pasti akan berjaya memboikot, di samping kita membantu pengusaha-pengusaha Islam yang lain melebarkan perniagaan mereka).
  • Kita boleh memboikot barangan mereka seandainya jelas mereka menyerang kita. (J: Seandainya mereka telah menyerang kita, di saat itu, kekuatan meboikot untuk kita sudah tidak ada dan tidak berguna lagi. Negara telah kucar-kacir, kuasa membeli juga telah tiada. Satu perkara lagi, mungkin kita masih belum diserang dari segi zahirnya, namun dari segi sarafnya bagaimana? Bagaimana pula dengan jawapan kita terhadap saudara seagama kita yang telah mengalami kesengsaraan serangan mereka di luar negara? Bukankah umat Islam itu bersaudara? Tidak kasihkah kita kepada saudara-saudara seagama kita? Sebagaimana sabda RasululLah s.a.w. "Tidak sempurna iman setiap daripada kamu selagimana kamu tidak mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri").
  • Kalau begitu, jika kedai makan atau rumah saudara mara kita menghidangkan makanan atau minuman yang menggunakan bahan mentahnya dari barangan yang menyumbang kepada dana Yahudi, janganlah makan. Boikot la kedai dan saudara mara kita tersebut. (J: Kita bukanlah sampai kepada tahap itu kejumudannya. Jika dihidangkan, makanlah, selagimana makanan itu tidak jelas haramnya (contoh : dari sumber khinzir, arak dan sebagainya). Apa yang jelas, kita sendiri berusahalah untuk tidak membeli dan mengajak orang untuk turut sama dalam usaha memboikot ini).

Begitulah antara hujjah sahabat saya berkaitan perkara "memboikot" ini. Apa yang jelas pada saya, "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih". Kita boleh memberikan dan menyenaraikan seribu satu alasan untuk kita tidak mahu melakukan sesuatu perkara. Namun, pendirian saya, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan", insyaAllah. Seandainya kita benar-benar mahu melakukan dan bersungguh-sungguh untuk sesuatu perkara itu, demi manfaat untuk agama, pasti Allah akan permudahkan jalan buat kita, insyaAllah.

Di sini saya berikan alamat untuk pautan kempen memboikot barangan yang menyumbang kepada dana Yahudi laknatulLah beserta huraian lengkap mengapa setiap barangan itu perlu di boikot beserta fatwa yang dikeluarkan dari beberapa tokoh agama termasuk Sheikh Yusuf Al-Qaradawi.

http://www.inminds.co.uk/boycott-israel.html

Saya bukanlah orang yang faqih dalam agama, namun saya mohon kepada Allah, moga usaha saya yang sangat kecil ini, dapat membantu sedikit sebanyak agamaNya. Saya menyeru kepada sahabat-sahabat dan pengunjung blog Musafir Perjuangan, biarlah kita menjadi seperti burung kecil yang membantu memadamkan api yang sedang membakar Nabi Ibrahim a.s., yang apabila dikatakan kepadanya, mampukah paruhnya yang kecil, membawa air berulang-alik bagi memadamkan api yang sedak marak menyala bagi membakar tubuh Nabi Allah Ibrahim? Jawapannya mudah, moga usahanya yang kecil itu, diterima di sisi Allah, dalam menyelamatkan NabiNya.

Saya akui, saya hambaNya yang banyak berdosa dan sangat kurang amalannya. Namun, do'a saya pada Yang Maha Pengasih dan Penyayang, moga usaha saya juga setanding usaha burung kecil tersebut...wallahualam.

"Bermusafir & Berjuanglah"

1 comment:

Hamba yg Lemah said...

Salam ziarah..insyaAllah niat yg suci ini akn mendapat ganjaran pahala di akhirat nanti..sy juga punya masalah,dimana org rumah sy sendiri yg menggunakan barangan boikot..justeru setiap kali mak ayah mahu membeli barangan..sy tidak akn melepaskan peluang utk ikut bersama..sy akn pastikan stiap barangan yg dibeli bukanlah barangan yg di boikot..terkadang tu,terpaksa juga membenarkan..kerana tidak mahu melawan kata mereka..apalah daya..sy masih lg hidup di bawah tanggungan mereka..selain itu,sy juga terpaksa menahan lapar apabila mknn tengah hari atau malam ditukar kepada KFC,MCDONALD,PIZZA HUT..sy yakin pasti ada hikmah di sebalik semua ini...apa yg sy harapkan..moga kita semua istiqomah dlm memboikot produk2 israel..tidak susah sebenarnya..hanya memerlukan kekuatan iman dlm melawan nafsu..