Thursday, July 26, 2007

Salam Ukhuwwah

Alahmdulillah...
Segala pujian dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T. Selawat serta salam buat junjungan tercinta, Rasulullah s.a.w, kaum keluarga, para sahabat salafussoleh, serta mereka yang sentiasa menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan hidup mereka. Semoga kita sama-sama ditempatkan di kalangan mereka, InsyaAllah...
Saudaraku...
Adakah setiap kali kita dibangkitkan dari tidur, kita mengucapkan setinggi-tinggi ucapan syukur kepada Allah yang masih memberikan ruang kepada kita untuk terus mengabdikan diri kepadaNya, sebelum diri berangkat ke alam Abadi? Terfikirkah di benak kita bahawa Allah itu amat pengasih dan penyayang kepada hambaNya? Diberikan kita peluang yang berulang kali, untuk kita berterusan melaksanakan amanah sebagai Khalifah dengan sebaik mungkin, dan seterusnya menjana saham yang tak ternilai sebagai bekalan di Akhirat nanti. Lantaran itu, kita dibangkitkan dengan nikmat iman, Islam dan kesihatan yang baik untuk tujuan tersebut.
Sahabat...
Diri yang menulis ini masih memiliki banyak kelemahan. Namun, dalam mengimani firman Allah dalam surah Al-Asr, maka usaha ini harus diteruskan. Berpesan-pesan itu adalah merupakan teras kepada kejayaaan dan kecemerlangan. Ia adalah merupakan ciri-ciri kepada orang-orang yang beriman. Janji apa lagi yang wajib kita percaya selain janji Allah? Sama-samalah kita koreksi diri, perbaikinya dengan amalan-amalan yang berterusan selagi hayat dikandung badan.
Ingatlah..!
Entah masih sempatkah kita menghirup udara ini walau satu saat lagi. Bergerak dan bertindaklah bermula saat yang ada. Pupuklah hati yang keras ini dengan kekuatan perjuangan semata-mata ingin melihat syariat Allah meliputi segenap ruang muka bumi ini.
"Bermusafir dan Berjuanglah"